Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM, Imri Mokhtar.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM, Imri Mokhtar.
Bisnes HM


Kuala Lumpur: Telekom Malaysia Berhad (TM) berjaya memulihkan 85 peratus daripada perkhidmatan yang terjejas akibat banjir.

TM dalam kenyataan berkata, setakat hari ini, perkhidmatan untuk 84,274 daripada pelanggan TM yang terjejas telah kembali pulih, hasil usaha menyeluruh oleh pasukan kejuruteraan dan sokongan TM.

"Kami juga telah memperuntukkan bagi pelanggan yang terjejas sebanyak RM13 juta bagi menggantikan secara percuma Peralatan Premis Pelanggan (CPE) dan komponen rangkaian yang rosak; pengecualian caj langganan daripada bil pelanggan untuk dua minggu yang dianggarkan bernilai RM5 juta; dan lanjutan terma kredit selama 60 hari bagi meringankan lagi beban kewangan pelanggan," katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, di kawasan-kawasan yang terjejas, TM telah membaik pulih sebahagian besar daripada lokasi rangkaian utama yang terkesan.

"Bencana banjir ini telah menjejaskan lebih 15 lokasi rangkaian dan stesen-stesen bukit di empat negeri, berikutan ketiadaan bekalan elektrik

dan di beberapa kawasan, paras air yang tinggi dan keadaan jalan raya yang rosak teruk, telah

menghalang pasukan rangkaian kami untuk mengakses lokasi-lokasi berkenaan," katanya.

Sebagai sebahagian daripada ikrar oleh ahli-ahli Rangkaian Tindak Balas Bencana GLC/GLIC

(GDRN) yang kini berjumlah RM58.4 juta, Lembaga Pengarah TM telah memperuntukkan RM2

juta bagi membantu usaha pemulihan, pembinaan semula dan bantuan banjir.

TM menerusi Yayasan TM (YTM) juga adalah pengerusi bersama dan sekretariat untuk GDRN. Menerusi kolaborasi dengan YTM, rakan-rakan NGO serta Angkatan Tentera dan Penyelamat Malaysia, kami telah turut mengedarkan lebih 3,500 pek prihatin yang mengandungi masakan panas, bahan makanan kering dan barangan penjagaan kebersihan serta kit ujian kendiri Covid-19 yang disediakan oleh Pharmaniaga di kawasan-kawasan terjejas banjir di Lembah Klang dan Hulu Langat.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM, Imri Mokhtar berkata, cabaran hebat yang dihadapi oleh rakyat Malaysia ketika situasi getir ini, telah menggerakkan syarikat-syarikat dan perniagaan-perniagaan untuk bersatu tenaga bertindak pantas bagi meringankan bebanan pelbagai pihak, dengan memanfaatkan sumber dan kemampuan masing-masing melalui apa juga cara.

"Sebagai peneraju bersama GDRN, TM bersyukur dapat berganding bahu dengan ahli-ahli lain dalam memenuhi keperluan mereka yang sedang berusaha membina semula kehidupan selepas bencana ini.

"Kesukaran ini mungkin masih belum berakhir, bagaimanapun TM sentiasa peka dengan peranan kami untuk menyokong pelanggan, masyarakat dan anggota kami agar kita semua dapat bangkit semula sebagai sebuah negara.

"Kami hargai kesabaran yang ditunjukkan oleh semua dan kami berusaha gigih untuk

memulihkan semula rangkaian kami serta memastikan perkhidmatan dapat terus diberikan

walaupun bekalan elektrik terpaksa dimatikan dan kerosakan peralatan kami di beberapa lokasi,"

katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Disember 2021 @ 2:27 PM