PENDUDUK Kampung Sungai Serai mula membersihkan Masjid Al-Ehsan Kampung Sungai Serai selepas banjir mulai surut ketika tinjauan hari ini. FOTO BERNAMA
PENDUDUK Kampung Sungai Serai mula membersihkan Masjid Al-Ehsan Kampung Sungai Serai selepas banjir mulai surut ketika tinjauan hari ini. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Kuala Lumpur: Rangkaian Pemulihan Bencana GLC/GLIC (GDRN) telah diaktifkan untuk memberi bantuan kebajikan serta sokongan kepada mangsa banjir kilat dan tanah runtuh, kata Telekom Malaysia Bhd.

Sebagai permulaan, sejumlah RM50 juta telah diperuntukkan sebagai inisiatif bantuan yang merangkumi geran padanan sebanyak RM25 juta oleh kerajaan, manakala bakinya disumbangkan secara bersama oleh GLC/GLIC.

"Sebagai sebahagian daripada GDRN, yang diterajui secara bersama oleh TM sebagai Sekretariat dengan Yayasan Hasanah dari Khazanah Nasional Bhd, kami berganding bahu dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) melalui Nadma termasuk agensi lain bagi membantu memantapkan bantuan bencana yang lain," kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM, Imri Mokhtar dalam kenyataan.

Bersama-sama dengan ahli-ahli GDRN, TM akan menggerakkan usaha menyelamat dan bantuan untuk memastikan keperluan asas termasuk penjagaan kesihatan dapat diberikan kepada mereka yang memerlukan.

Rejimen Semboyan Diraja Askar Wataniah Telekom Ke-56 yang terdiri daripada sukarelawan dari TM telah dikerahkan ke medan untuk memberi bantuan dan perkhidmatan kecemasan yang melibatkan talian perhubungan di seluruh negara.

"Walaupun keadaan masih tidak menentu, saya bersyukur pihak pasukan kejuruteraan dan khidmat pelanggan TM mampu bertidak balas dengan pantas untuk memastikan pelanggan kami sentiasa dikemas kini dan berusaha ke arah memulihkan perkhidmatan sambungan yang amat diperlukan.

"Ketika kami bersiap sedia dalam keadaan yang mungkin tidak terjangka, kami berharap rakyat Malaysia akan menerima bantuan yang mereka perlukan. Barisan hadapan kami akan berada di lapangan sepanjang masa untuk memulihkan perkhidmatan di negeri-negeri yang terjejas," katanya.

Sementara itu, Imri berkata beberapa perkhidmatan telekomunikasi yang disediakan TM telah terjejas, terutamanya di Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang yang mengalami kerosakan sehingga wujud gangguan perkhidmatan di beberapa kawasan.

Sementara itu, TM terpaksa menutup bekalan tenaga dan peralatan rangkaian di beberapa kawasan sebagai langkah berjaga-jaga untuk memastikan keselamatan mereka yang berada di sekitarnya selain meminimumkan sebarang risiko yang berpotensi.

"Kebimbangan segera kami menjurus ke atas 50,000 pelanggan unifi, streamyx, talian tetap dan unifi mobile kami yang terjejas, yang mana, kami bekerja keras untuk memastikan perkhidmatan komunikasi dipulihkan segera," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Disember 2021 @ 12:49 PM