Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed.
Bisnes HM


Kuala Lumpur: Cadangan untuk memperkenalkan kerangka jaringan keselamatan ekuiti hanya merujuk kepada penjualan saham dan/atau syarikat oleh agensi mandat Bumiputera sahaja.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, agensi mandat Bumiputera itu terdiri daripada institusi kepentingan Bumiputera termasuk Permodalan Nasional Bhd dan Lembaga Tabung Haji dan agensi amanah Bumiputera termasuk Mara, Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri dan Ekuinas.

Mustapa berkata, cadangan penjualan itu tidak membabitkan saham dan/atau syarikat yang akan dijual oleh individu Bumiputera, bukan Bumiputera atau syarikat asing.

Sebaliknya, katanya, pengumuman itu hanya membabitkan penjualan saham dan/atau syarikat Bumiputera oleh agensi mandat Bumiputera sahaja.

"Di bawah kerangka jaringan keselamatan ekuiti, penjualan ini akan ditawarkan kepada konsortium, syarikat atau individu Bumiputera yang berkelayakan.

"Pada 2019, pemilikan Bumiputera dalam ekuiti korporat berasaskan nilai pasaran hanya 17.2 peratus," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mustapa berkata, pengumuman itu dibuat untuk memastikan pemilikan yang ada akan kekal dalam pegangan Bumiputera dan tidak terhakis.

Beliau menegaskan ,cadangan itu tidak akan mengambil hak kepentingan kaum lain.

Selain kerangka jaringan keselamatan ekuiti itu, Mustapa berkata, terdapat beberapa perundangan dan peraturan kawal selia pemilikan ekuiti Bumiputera yang sedang berkuat kuasa.

Katanya, pelupusan saham dan/atau syarikat swasta adalah tertakluk kepada kelulusan pengawal selia sektor kementerian dan agensi berkaitan.

"Sebagai contoh, bagi perolehan hartanah yang membabitkan pemilikan hartanah kepentingan Bumiputera dan/atau agensi kerajaan bernilai RM20 juta dan ke atas, perlu mendapat kelulusan Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri.

"Ini adalah untuk memastikan kepentingan Bumiputera dalam syarikat yang sedia ada tidak terhakis," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Oktober 2021 @ 6:29 PM