Bangunan BNM.
Bangunan BNM.
Bisnes HM


Kuala Lumpur: Bank Negara Malaysia (BNM) akan memperkenalkan dua kemudahan baharu

di bawah Dana BNM untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dengan permohonan untuk kemudahan-kemudahan ini akan dibuka mulai 3 Februari 2022 sehingga peruntukan digunakan

sepenuhnya.

Dua kemudahan berkenaan adalah Kemudahan Permodalan Semula Perniagaan (BRF) dan Kemudahan Peralihan Rendah Karbon (LCTF) dengan masing-masing berjumlah RM1 bilion.

BRF bertujuan menyokong PKS untuk pulih dan berkembang, di samping menguruskan tahap keberhutangan mereka melalui penyelesaian pembiayaan yang inovatif.

Di bawah BRF, PKS boleh mendapatkan pembiayaan ekuiti melalui terbitan saham keutamaan, saham biasa, atau sebarang instrumen mirip ekuiti yang sesuai.

Ia juga boleh digabungkan antara pembiayaan hutang daripada institusi kewangan peserta (IKP) dan pembiayaan ekuiti melalui pembiaya ekuiti pihak ketiga (kewangan campuran).

BRF ini tersedia untuk PKS daripada semua sektor ekonomi, sehingga maksimum RM5 juta bagi membiayai modal kerja dan/atau perbelanjaan modal dengan tempoh pembiayaan adalah sehingga 10 tahun.

PKS yang berminat boleh memohon terus daripada bank-bank perdagangan, bank-bank Islam dan institusi kewangan pembangunan peserta yang dikawal selia oleh BNM.

LCTF yang berjumlah RM1 bilion pula menyokong dan menggalakkan PKS untuk menerapkan amalan kelestarian bagi meningkatkan daya tahan perniagaan.

Di bawah kemudahan ini, institusi kewangan akan menyediakan dana padanan sebanyak RM1 bilion daripada dana mereka sendiri.

Kemudahan ini adalah selaras dengan matlamat kerajaan untuk mencapai sasaran ekonomi pelepasan karbon sifar bersih pada tahun 2050.

Amalan kelestarian ini termasuk tetapi tidak terhad kepada aktiviti untuk mendapatkan pensijilan kelestarian; meningkatkan penggunaan bahan yang diakui lestari dalam aktiviti pengeluaran; menambahbaik kecekapan tenaga bangunan dan peralatan; dan memasang peralatan jana kuasa tenaga boleh baharu di premis.

LCTF ini tersedia untuk PKS daripada semua sektor, sehingga maksimum RM10 juta bagi setiap PKS untuk tujuan pembiayaan modal kerja dan/atau perbelanjaan modal dengan tempoh pembiayaan adalah sehingga 10 tahun.

Kadar pembiayaan adalah sehingga 5.0 peratus setahun, termasuk sebarang fi jaminan.

Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus berkata, penyelesaian pembiayaan yang lebih inovatif seperti kewangan campuran dan pembiayaan ekuiti, menggabungkan sumber, kapasiti dan pengetahuan merentas sektor awam dan swasta.

"Ia termasuk bank-bank, institusi kewangan pembangunan dan pelabur ekuiti bagi membantu perniagaan bangkit semula dengan lebih baik dalam landskap selepas pandemik," katanya.

Menurutnya, terdapat keperluan mendesak bagi PKS untuk menerapkan amalan kelestarian dalam operasi perniagaan masing-masing pada masa hadapan.

"LCTF menggalakkan usaha ini dan menyokong industri kewangan untuk meningkatkan inovasi terhadap produk-produk yang ditawarkan bagi memudahkan perniagaan menerapkan amalan kelestarian dan menyesuaikan semula operasi dan proses perniagaan mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 January 2022 @ 6:29 PM