APLIKASI Airasia Super App yang menawarkan pelbagai perkhidmatan.
APLIKASI Airasia Super App yang menawarkan pelbagai perkhidmatan.
Syarifah Dayana Syed Bakri

AIRASIA Digital, cabang digital Airasia Group dan Gojek, platform perkhidmatan dan pembayaran mudah alih terkemuka di Asia Tenggara mengumumkan kerjasama pengambilalihan operasi Gojek di Thailand oleh Airasia Digital.

Kerjasama ini dijangka dapat mengembangkan Airasia Super App di Asean dan pada masa sama meningkatkan pelaburan Gojek dalam operasinya di Vietnam dan Singapura.

Melalui kerjasama ini juga, Gojek akan menerima pegangan saham dalam Airasia Super App yang kini bernilai AS$1 bilion (RM4.16 bilion).

Ketua Pegawai Eksekutif Airasia Group Tan Sri Tony Fernandes berkata, sebagai sebahagian daripada komitmennya kepada Thailand, Airasia Super App akan terus memanfaatkan ekosistem sedia ada untuk perkhidmatan rakan penghantar, perniagaan dan pelanggan dengan menawarkan pelbagai tawaran baharu seperti makanan, barangan runcit dan produk kecantikan.

"Kami mempunyai kehadiran jenama yang kuat di Thailand dan semua orang akan mendapat manfaat daripada perkhidmatan yang kami sediakan.

"Ia juga tidak hanya tertumpu di Bangkok sebaliknya akan turut menembusi bandar lain di Thailand. Ia akan dikembangkan ke pasaran baharu seperti Chiang Mai dan Phuket dalam masa terdekat," katanya dalam sidang media secara maya di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Gojek Kevin Aluwi; Presiden Airasia Digital, Aireen Omar dan Ketua Pegawai Eksekutif, Airasia Super App, Amanda Woo.

PERKHIDMATAN Gojek di Thailand.
PERKHIDMATAN Gojek di Thailand.

Aplikasi Gojek akan terus beroperasi untuk pengguna semasa di Bangkok sehingga 31 Julai depan bagi memastikan suatu peralihan yang lancar bagi pihak berkepentingan Gojek termasuk pemandu dan peniaga yang akan dijemput menyertai Airasia Super App dalam beberapa minggu akan datang.

AirAsia akan bekerjasama dengan kakitangan tempatan Gojek di Thailand untuk mengendali perniagaan Gojek dalam tempoh peralihan sebelum terus menyertai Airasia Super App, di mana mereka membawa kepakaran dalam pasaran tempatan dan kefahaman keperluan pengguna di Thailand.

Kerjasama ini sejajar dengan dengan penyusunan semula strategi antarabangsa Gojek untuk meningkatkan pelaburan dalam operasinya di Vietnam dan Singapura.

Ini termasuk memperluas inisiatif pemerolehan pemandu dan peniaga, meningkatkan pengalaman pengguna serta melancarkan produk dan perkhidmatan baharu.

Tony berkata, pengumuman yang dibuat semalam adalah permulaan satu kerjasama strategik jangka panjang yang luar biasa bersama Gojek yang bakal menggegarkan industri.

"Dengan pengambil alihan perniagaan Gojek di Thailand, kami dapat memacu perkembangan dalam industri ini sebagai aplikasi terkemuka di Asean dengan lebih pantas.

"Kami mempunyai ekosistem ekonomi digital yang lengkap dengan lebih daripada 15 produk dan perkhidmatan gaya hidup selain penerbangan yang pelbagai di platform e-dagang digital kami di Malaysia," katanya.

"Kini tiba masanya untuk kami membawa visi kami ke tahap seterusnya. Untuk memenuhi permintaan yang luar biasa dari seluruh pelusuk rantau ini, kami akan mula melancarkan airasia Super App di semua pasaran utama selepas pelancaran di Thailand.

"Kesemua perniagaan digital kami kian bertambah kukuh dan melalui kerjasama ini. Visi kami supaya airasia Super App menjadi menjadi satu aplikasi pilihan di seluruh Asean bakal menjadi kenyataan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Julai 2021 @ 6:55 AM