AirAsia mempunyai infrastruktur dan ekosistem lengkap dan itu akan membuka ruang kepada e-dagang AirAsia berkembang pesat.
AirAsia mempunyai infrastruktur dan ekosistem lengkap dan itu akan membuka ruang kepada e-dagang AirAsia berkembang pesat.
Oleh Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: AirAsia Bhd akan terus mengukuhkan lagi segmen super app miliknya bukan sahaja di Malaysia, malah negara berpotensi besar seperti Indonesia, Vietnam, Thailand, Singapura dan Filipina.

Ketua e-dagang bagi airasia super app, Lim Ben-Jie berkata, pihaknya akan memberi tumpuan terhadap bandar utama dan kecil di seluruh negara terbabit.

Katanya, AirAsia sudah mempunyai infrastruktur dan ekosistem lengkap dan itu akan membuka ruang kepada e-dagang AirAsia berkembang pesat selaras dengan penawaran kumpulan bagi harga yang sangat kompetitif untuk semua produk serta perkhidmatannya.

"Jenama AirAsia sudah cukup dikenali bukan sahaja di Malaysia, malah seluruh Asean. Oleh itu, kami hanya perlu memberi sedikit insentif supaya orang ramai boleh mencuba produk dan perkhidmatan kami.

"Segmen e-dagang AirAsia terus berkembang bermula dengan Airasia food pada Mei tahun lalu sebelum Airasia fresh pada September tahun lalu dan Airasia beauty, baru-baru ini.

"Saya melihat potensi e-dagang AirAsia memiliki kemampuan berkembang lebih kurang 50 peratus bulan ke bulan dalam seluruh rangkaian produk tahun ini," katanya pada temu bual secara maya bersama Bisnes Metro.

Super app AirAsia mempunyai 15 produk merangkumi tiga segmen iaitu kembara dan gaya hidup, e-dagang dan teknologi kewangan (fintech).

Bagi segmen kembara dan gaya hidup, aplikasi itu menawarkan produk penerbangan, hotel, SNAP, kesihatan, Ikhlas, BIG Rewards, WiFi, Explore dan Unlimited.

Untuk segmen e-dagang pula merangkumi Airasia food, Airasia fresh, Airasia beauty dan Airasia shop, manakala fintech pula membabitkan Airasia money serta BigPay.

Sementara itu, Ben Jie berkata, AirAsia juga akan meneroka perkhidmatan e-hailing bagi melengkapkan ekosistem perniagaan bukan penerbangan bersepadunya di Malaysia.

Beliau berkata, struktur perkhidmatan (e-hailing) akan diumumkan pihak pengurusan tertinggi AirAsia tidak lama lagi.

"Perkhidmatan terbaharu dalam pengangkutan darat ini akan menjadi pendorong bagi melengkapkan super app dan tepat pada masanya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Jun 2021 @ 7:01 AM