Kerjasama antara Airasia Digital dan Gojek dijangka dapat mengembangkan Airasia Super App di Asean.
Kerjasama antara Airasia Digital dan Gojek dijangka dapat mengembangkan Airasia Super App di Asean.
Syarifah Dayana Syed Bakri


Kuala Lumpur: Airasia Digital, cabang digital Airasia Group dan Gojek, platform perkhidmatan dan pembayaran mudah alih terkemuka di Asia Tenggara, mengumumkan kerjasama pengambilalihan operasi Gojek di Thailand oleh Airasia Digital.

Kerjasama ini dijangka dapat mengembangkan Airasia Super App di Asean, dan pada masa sama meningkatkan pelaburan Gojek dalam operasinya di Vietnam dan Singapura.

Melalui kerjasama ini juga, Gojek akan menerima pegangan saham dalam Airasia Super App yang kini bernilai AS$1 bilion (RM4.16 bilion).

Ketua Pegawai Eksekutif Airasia Group Tan Sri Tony Fernandes berkata, sebagai sebahagian daripada komitmennya kepada Thailand, Airasia Super App akan terus memanfaatkan ekosistem sedia ada untuk perkhidmatan rakan penghantar, perniagaan dan pelanggan dengan menawarkan pelbagai tawaran baharu seperti makanan, barangan runcit dan produk kecantikan.

"Kami mempunyai kehadiran jenama yang kuat di Thailand dan semua orang akan mendapat manfaat daripada perkhidmatan yang kami sediakan.

"Ia juga tidak hanya tertumpu di Bangkok sebaliknya akan turut menembusi bandar lain di Thailand. Ia akan dikembangkan ke pasaran baharu seperti Chiang Mai dan Phuket dalam masa terdekat," katanya dalam sidang media secara maya di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Gojek Kevin Aluwi; Presiden Airasia Digital, Aireen Omar dan Ketua Pegawai Eksekutif, Airasia Super App, Amanda Woo.

Aplikasi Gojek akan terus beroperasi untuk pengguna semasa di Bangkok sehingga 31 Julai 2021 bagi memastikan suatu peralihan yang lancar bagi pihak berkepentingan Gojek, termasuk pemandu dan peniaga yang akan dijemput menyertai Airasia Super App dalam beberapa minggu akan datang.

Airasia akan bekerjasama dengan kakitangan tempatan Gojek di Thailand untuk mengendali perniagaan Gojek dalam tempoh peralihan sebelum terus menyertai Airasia Super App, di mana mereka membawa kepakaran dalam pasaran tempatan dan kefahaman keperluan pengguna di Thailand.

Kerjasama ini sejajar dengan dengan penyusunan semula strategi antarabangsa Gojek untuk meningkatkan pelaburan dalam operasinya di Vietnam dan Singapura.

Ini termasuk memperluas inisiatif pemerolehan pemandu dan peniaga, meningkatkan pengalaman pengguna serta melancarkan produk dan perkhidmatan baharu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Julai 2021 @ 3:11 PM