AMANDA (kiri) dan  Ben-Jie (kanan) selepas pelancaran airasia Xpress.
AMANDA (kiri) dan Ben-Jie (kanan) selepas pelancaran airasia Xpress.

Kuala Lumpur: Airasia Super App, cabang perniagaan di bawah AirAsia Group memperkenalkan perkhidmatan penghantaran barangan pantas, airasia Xpress di tujuh bandar utama Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif airasia Super App, Amanda Woo berkata, perkhidmatan terbaharu kumpulan itu membolehkan penghantaran barangan dilaksanakan dalam tempoh kurang satu jam mengikut lokasi dan jarak.

Beliau berkata, airasia Xpress sudah boleh digunakan melalui aplikasi superapp AirAsia bagi pengguna di Lembah Klang, Melaka, Johor Bahru, Kota Bharu, Pulau Pinang, Ipoh dan Kota Kinabalu.

Perkhidmatan ini juga katanya, akan dilaksanakan oleh cabang logistik airasia iaitu Teleport.

"Sebagai permulaan, airasia Xpress berada di tujuh bandar ini sebelum perkhidmatannya akan diperluaskan ke bandar lain di Malaysia dan negara serantau.

"Ketika ini kawasan penghantaran terhad, tetapi kumpulan mengembangkan operasi airasia Xpress pada suku kedua tahun hadapan merentasi negara. Ia juga melengkapkan ekosistem kami dalam penghantaran sebelum ini merangkumi makanan, barangan keperluan asas dan e-hailing.

"airasia Xpress bakal dikembangkan ke bandar utama di Thailand, Singapura, Indonesia dan Filipina sebelum menjengah pasaran Korea Selatan, Jepun, China dan India. Penghantaran dijangka dapat dilaksanakan dalam tempoh 24 jam," katanya selepas melancarkan airasia Xpress di sini semalam.

Pengguna airasia Super App kini boleh memilih antara perkhidmatan penghantaran segera di bawah satu jam dan penghantaran pada hari sama dalam tempoh empat hingga enam jam menggunakan motosikal dan kereta.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 November 2021 @ 6:55 AM