Bisnes HM

Kuala Lumpur: AirAsia akan menaik taraf sistem tempahan Navitaire New Skies minggu ini sebagai sebahagian daripada usaha berterusannya dalam menawarkan pengalaman tempahan dalam talian yang lebih baik.

Syarikat penerbangan itu dalam kenyataan berkata, tempahan penerbangan, hotel dan SNAP tidak akan tersedia dari jam 11 malam tadi sehingga 3 pagi tadi di laman web airasia.com, airasia super app, pejabat jualan AirAsia serta melalui kaunter dan perkhidmatan AVA.

"Pelanggan juga tidak dapat mendaftar masuk melalui laman web, super app, kiosk lapangan terbang dan kaunter atau menguruskan tempahan mereka sehingga proses naik taraf ini selesai.

"Semua pelanggan yang akan melakukan perjalanan dalam tempoh itu mesti mendaftar masuk melalui dalam talian atau super app sebelum tempoh naik taraf ini dan mencetak pas masuk mereka atau menggunakan Pas Masuk Elektronik jika ada.

"Daftar masuk melalui laman web dan aplikasi tersedia dari 14 hari sebelum waktu perlepasan untuk semua penerbangan," katanya.

Dalam perkembangan lain, AirAsia memeterai memorandum persefahaman dengan Aimia Holdings UK II Limited (Aimia) bagi cadangan pengambilalihan keseluruhan baki saham biasa berjumlah 1,665,000 dalam BigLife Sdn Bhd (BigLife).

Transaksi itu mewakili 20 peratus kepentingan ekuiti dalam BigLife kepada AirAsia Digital Sdn Bhd dan dijangka selesai sebelum akhir Mei depan.

Aimia juga akan menerima terbitan saham berjumlah 85.86 juta atau tambahan sebanyak 2.2 peratus kepentingan dalam AirAsia, meningkatkan kepentingan ekuitinya kepada 3.1 peratus berikutan penyertaan Aimia dalam penempatan saham swasta tahap kedua AirAsia, baru-baru ini.

Aimia adalah sebuah syarikat yang memberi fokus kepada pelaburan jangka panjang dalam syarikat awam dan swasta global melalui kawalan atau kepentingan minoriti.

Dalam pada itu, BigLife bermula sebagai sebuah program ganjaran syarikat penerbangan standard yang kini berkembang untuk menawarkan mata wang digital kepada pengguna untuk mengumpul dan menebus BIG Point di seluruh ekosistem produk perjalanan dan gaya hidup, termasuk di luar platform airasia super app.

BIG Rewards oleh BigLife kini menjadi salah satu platform ganjaran gaya hidup terbesar di Asean dengan lebih daripada 25 juta ahli.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Mac 2021 @ 7:55 AM