SUKARELAWAN membungkus makanan untuk diagihkan.
SUKARELAWAN membungkus makanan untuk diagihkan.

AIRASIA Group Bhd melancarkan inisiatif bantuan makanan terkini untuk membantu mereka yang terjejas dari segi kewangan berikutan kesan pandemik Covid-19.

Dalam kenyataannya, operator syarikat penerbangan tambang rendah itu berkata, inisiatif itu adalah kerjasama antara cabang perkhidmatan penghantaran barangan runcit oleh airasia Super App, airasia grocer dan kitajaga.co, platform inisiatif sosial yang ditubuhkan sekumpulan sukarelawan syarikat pembangunan digital di Malaysia,Terato Tech.

"Airasia grocer memperkenalkan pek nilai istimewa Kita Jaga Kita yang merangkumi barangan runcit berkhasiat dan keperluan harian untuk membantu orang ramai dan keluarga yang memerlukan.

"Barangan segar ini produk daripada airasia farm dengan kerjasama bersama petani kecil tempatan untuk menjangkau pasaran lebih luas dalam era e-dagang baharu," kata kumpulan itu.

Katanya Teleport, cabang logistik e-dagang AirAsia mengendalikan penghantaran dengan fokus untuk membuat penyerahan pada hari sama.

Sebagai pelancaran kempen ini, sukarelawan Kumpulan AirAsia memberi bantuan makanan di tiga kampung Orang Asli di Gombak, Selangor.

Menurut kenyataan, pesanan itu dilakukan badan bukan kerajaan berikutan tiada kedai berdekatan untuk penduduk kampung membeli barangan segar.

Ketua Pegawai Eksekutif airasia Super App, Amanda Woo berkata, kerjasama dengan kitajaga.co dapat memastikan mereka yang memerlukan menerima barangan runcit berkhasiat.

"Kami juga memudahkan proses bagi sesiapa sahaja menghulurkan bantuan melalui kitajaga.co dan penderma boleh memilih penerima bantuan mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Ogos 2021 @ 7:16 AM