KETUA Pegawai Eksekutif Inter-Pacific Asset Management Sdn Bhd, Datuk Dr Nazri Khan Adam Khan.
KETUA Pegawai Eksekutif Inter-Pacific Asset Management Sdn Bhd, Datuk Dr Nazri Khan Adam Khan.

KEKUKUHAN ringgit ketika ini dijangka membawa impak positif kepada pasaran ekuiti di tengah-tengah kelemahan dolar Amerika Syarikat (AS) apabila petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 30.24 mata untuk ditutup bagi minggu pertama 2021 pada paras tertinggi harian 1,633.19.

Ringgit diniagakan setinggi 3.9957 berbanding dolar AS pada hari pertama dagangan tahun ini dan firma penyelidikan berkenaan percaya kelemahan dolar itu akan berterusan.

Seorang penganalisis berkata, ia terbukti pada Jumaat minggu yang baharu berakhir ini selepas FBM KLCI bergerak rendah semasa sesi pagi, dan ramai pembeli mencari mana-mana saham rendah dalam pasaran membangun dan langkah itu membayangkan ekuiti serantau di landasan untuk meningkat lebih tinggi.

Ketua Pegawai Eksekutif Inter-Pacific Asset Management Sdn Bhd, Datuk Dr Nazri Khan Adam Khan berkata, 2021 bakal menjadi tahun yang lebih baik dengan sokongan ringgit kukuh yang bakal menarik lebih ramai pelabur asing.

"Faktor yang menggalakkan termasuk sokongan pada masa akan datang dalam bentuk mudah tunai daripada Bank Negara Malaysia (BNM) dengan pengurangan kadar faedah, pelaksanaan rangsangan Belanjawan 2021, keterlibatan tinggi pelabur runcit, lantunan semula kukuh pendapatan korporat dan kenaikan harga minyak mentah dunia yang berlegar kira-kira AS$55 setong.

"Jangkaan umum Covid-19 dapat dibendung pada 2021 juga meningkatkan sentimen susulan berita pelaksanaan vaksinasi tidak lama lagi.

"Kekuatan ringgit yang meyakinkan berbanding dolar AS juga akan menjadi penyumbang untuk menarik pelabur asing secara berperingkat ke Malaysia pada tahun ini," katanya.

Bagaimanapun, berdasarkan kepada data yang diperoleh bagi tahun penuh 2020, pelabur antarabangsa menjual RM24.6 bilion bersih ekuiti tempatan di Bursa Malaysia.

Dr Nazri berkata, dengan ringgit yang mencatatkan prestasi lebih baik, ia akan membawa kesan domino kerana ia menyokong banyak sektor, antara lainnya komoditi yang bakal merangsang pasaran ekuiti.

"Apabila ringgit kukuh, orang akan berpusu-pusu membeli minyak sawit mentah. Apabila komoditi dalam nilai dolar AS ini menjadi murah untuk dibeli oleh peniaga, begitu juga negara seperti China dan India," katanya.

Nazri berkata, pelabur runcit sudah tentunya masih mendominasi dengan sokongan rangsangan daripada Belanjawan 2021 memandangkan mereka kini membentuk 37 peratus dalam pasaran dan diharapkan akan mencapai 40 peratus pada tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 January 2021 @ 6:55 AM