TAJUDDIN
TAJUDDIN
HM Digital

Kuala Lumpur: Bursa Malaysia Bhd mencatatkan keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) sebanyak RM223.0 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2017 meningkat 15.2 peratus berbanding RM193.6 juta sebelumnya.

Ia PATAMI tertinggi bagi keseluruhan tahun dicatatkan pengendali bursa tempatan itu sejak 2007.

Nisbah kos kepada pendapatan dan pulangan ekuiti (ROE) masing-masing meningkat sebanyak dua mata peratusan dan tiga mata peratusan kepada 45 peratus dan 26 peratus.

Peningkatan PATAMI itu berikutan pendapatan operasi yang tinggi berjumlah RM522.1 juta meningkat 10.4 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Pendapatan operasi itu adalah yang tertinggi dicatatkan Bursa Malaysia sejak disenaraikan pada 2005.

Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Seri Tajuddin Atan berkata, 2017 adalah tahun paling kukuh bagi pasaran ekuiti tempatan.

Beliau berkata, indeks penanda aras, FBM KLCI mencatatkan pertumbuhan 9.4 peratus dan permodalan pasaran berkembang sebanyak 14.4 peratus.

“Terdapat peningkatan ketara dalam penyertaan pelabur runcit, yang berkembang sebanyak 41 peratus sejajar dengan tumpuan berterusan kami dalam berhubung dan mendidik dengan meningkatkan usaha jangkauan runcit dan program literasi kewangan kami, dan terus memperluaskan pangkalan runcit kami sepanjang tahun.

“Kami juga menyaksikan aliran masuk bersih asing sebanyak RM10.8 bilion (pada 2017),” katanya pada sidang media mengumumkan prestasi kewangan Bursa Malaysia bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2017 di sini, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Februari 2018 @ 7:45 AM