BERNAMA

Kuala Lumpur: Pemulihan Bursa Malaysia pada suku pertama tahun ini dijangka berterusan berikutan pertumbuhan mampan ekonomi domestik.

Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, kerajaan mendapati setakat tahun ini, FBM KLCI meningkat enam peratus, manakala jumlah saham tawaran awam permulaan (IPO) meningkat seiring dengannya.

“Kami gembira untuk melihat pelabur asing muncul kembali pada suku pertama tahun ini.

“Dipacu oleh kestabilan nilai ringgit, prospek pertumbuhan yang cerah dan beberapa penyenaraian baru, pelabur asing muncul pembeli bersih bernilai RM7.02 bilion, yang tertinggi dalam pasaran sedang muncul ASEAN,” katanya ketika berucap pada malam gala Anugerah Bursa Malaysia Keempat 2016, di sini, kelmarin.

Menurutnya, ketidaktentuan keadaan luaran yang semakin berkurangan dan prospek Malaysia yang semakin baik menyebabkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dijangka lebih baik tahun ini dengan anggaran 4.3 hingga 4.8 peratus.

Katanya, secara keseluruhan, bagi meneruskan momentum pertumbuhan itu, kerajaan, institusi awam dan peserta sektor swasta perlu bekerjasama kerana tugas mengukuhkan ekonomi negara adalah tanggungjawab bersama.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia Berhad Datuk Seri Tajuddin Atan berkata, walaupun 2016 adalah tahun mencabar berikutan faktor luaran seperti Brexit dan pendirian Presiden Amerika Syarikat Donald Trump mengenai beberapa isu penting, ia mampu mengekalkan pasaran yang teratur.

Menurutnya, setakat April lalu, Nilai Dagangan Harian Purata Bursa Malaysia mencatat RM2.44 bilion, manakala permodalan pasaran meningkat 10.4 peratus kepada RM1.84 trilion setakat tahun ini.

Pada majlis bertema, Mengiktiraf Yang Terbaik Malaysia, 19 kategori anugerah disampaikan berbanding 25 pada tahun lalu kepada broker, peserta ekuiti, derivatif dan pasaran Islam berikutan sumbangan serta pencapaian mereka dalam pertumbuhan dan kemampanan pasaran modal tempatan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Mei 2017 @ 3:45 AM