ALAN pada taklimat media mengenai Tinjauan Pasaran dan Makro 2024. FOTO Bernama
ALAN pada taklimat media mengenai Tinjauan Pasaran dan Makro 2024. FOTO Bernama
BERNAMA

Kuala Lumpur: Affin Hwang Investment Bank Bhd mengunjur ekonomi Malaysia berkembang 4.5 peratus tahun ini berbanding unjuran 4.0 peratus bagi 2023, susulan permintaan kukuh domestik dan asas ekonomi yang bertambah baik.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Nurjesmi Mohd Nashir berkata, permintaan domestik, yang mengimbangi penurunan pertumbuhan eksport tahun lalu, akan terus disokong oleh perbelanjaan isi rumah yang kukuh dan pemulihan dalam aktiviti berkaitan pelancongan.

"Prestasi ekonomi Malaysia sebahagiannya akan bergantung kepada pertumbuhan ekonomi global, terutamanya bagi permintaan luar.

"Bagaimanapun, dengan permintaan domestik yang berdaya tahan, firma penyelidikan kami mengunjurkan ekonomi akan smencapai pengembangan lebih kukuh dengan unjuran pertumbuhan domestik kasar sebanyak 4.5 peratus bagi 2024," katanya pada taklimat media mengenai Tinjauan Pasaran dan Makro 2024, di sini, hari ini.

Ketua ahli ekonomi Kumpulan Affin, Alan Tan Chew Leong berkata, eksport di kebanyakan ekonomi utama dijangka pulih pada 2024, dengan China, pengeksport terbesar dunia, mendapat manfaat paling besar.

Beliau berkata, pemulihan eksport global akan memberi prospek positif bagi Malaysia kerana ia boleh meningkatkan permintaan terhadap produk elektrik dan elektronik, yang juga sejajar dengan tinjauan jualan semikonduktor global yang bertambah baik.

Mengenai pelaburan langsung asing, Tan berkata memandangkan ekonomi maju dijangka mula menurunkan kadar faedahnya pada separuh kedua 2024, para pelabur akan mengalihkan perhatian mereka kepada negara sedang pesat membangun, termasuk Malaysia, untuk mempelbagaikan pelaburan.

Beliau berkata, pemacu pertumbuhan positif lain bagi Malaysia termasuk perbelanjaan pembangunan lebih tinggi susulan pertumbuhan hasil fiskal lebih baik daripada jangkaan, tekanan inflasi yang stabil dan hasil pelancongan yang lebih tinggi.

"Kami tidak melihat sebarang faktor yang akan menyebabkan inflasi Malaysia meningkat lebih tinggi. Oleh itu ia dijangka terus terkawal," katanya.

Tan berkata ringgit dijangka menjadi salah satu mata wang yang mencatatkan prestasi terbaik di rantau ini, bersama-sama dengan yen Jepun dan renminbi China, susulan pemulihan di peringkat global dan asas ekonomi yang bertambah baik.

Kumpulan Affin percaya nilai tukaran ringgit berbanding dolar AS yang lebih baik, yang dijangka mengakhiri tahun 2024 pada 4.40, ditambah dengan pertumbuhan KDNK lebih kukuh, akan menjadi pemangkin utama untuk meningkatkan sentimen dalam pasaran ekuiti Malaysia dan juga menyokong potensi FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) untuk melantun semula pada akhir tahun ini.

Ketua Penyelidikan Affin Hwang Investment Bank Loong Chee Wei berkata petunjuk pasaran FBM KLCI dijangka mencatatkan lantunan kukuh tahun ini, dengan pertumbuhan 10.5 peratus tahun ke tahun kepada 1,600 memandangkan pertumbuhan pendapatan korporat yang lebih tinggi.

Beliau berkata, antara faktor pemacu termasuklah pembaharuan struktur ekonomi, perbelanjaan infrastruktur yang dipercepatkan, pelan peralihan tenaga, perindustrian semula, dan pengembangan pusat data.

"Separuh pertama 2024 dijangka lemah kemungkinan disebabkan kebimbangan terhadap ekonomi global dan sama ada ekonomi Amerika Syarikat akan mengalami pertumbuhan atau kemelesetan.

"Kami mengunjurkan pertumbuhan dan ia akan menjadi pemangkin kepada pasaran untuk melantun semula pada separuh kedua tahun ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 January 2024 @ 6:12 PM