Zeti dan Ahmad Zulqarnain pada taklimat laporan tahunan PNB bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2020 secara maya, semalam.
Zeti dan Ahmad Zulqarnain pada taklimat laporan tahunan PNB bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2020 secara maya, semalam.

PERMODALAN Nasional Berhad (PNB) mencapai prestasi kewangan berdaya tahan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2020 dengan mengagihkan pendapatan dan bonus RM11.1 bilion kepada pemegang unitnya.

Secara keseluruhannya, PNB mengagihkan jumlah agihan pendapatan terkumpul RM211.3 bilion kepada 14.5 juta pemegang unitnya sejak awal penubuhan.

Pengerusi Kumpulan PNB, Tan Sri Dr Zeti Aziz berkata, 2020 adalah tahun paling mencabar dalam sejarah, namun PNB memperoleh hasil ketara daripada strategi transformasi yang dilaksanakan sejak 2018.

Katanya, PNB berjaya menghadapi satu lagi iklim pelaburan sangat mencabar dan dapat menghasilkan tiga pencapaian memberangsangkan pada 2020.

"Kami mengekalkan prestasi kewangan berdaya tahan, mencapai kemajuan ketara dalam usaha kepelbagaian portfolio dan meningkatkan lagi pengalaman pengguna kepada pemegang unit terutama menerusi platform digital.

"Hasilnya, PNB meningkatkan Aset Di Bawah Pengurusan (AUM) kepada RM322.6 bilion dan terus memberikan pulangan kompetitif berjumlah RM11.1 bilion sepanjang tahun ini.

"PNB terus mengorak langkah menjadi institusi pelaburan diiktiraf dunia.

"Selain strategi baharu untuk mempelbagaikan pelaburan kelas aset yang lebih luas di pasaran domestik, kemasukan kami di pasaran antarabangsa juga meningkat secara progresif.

"Kini, kami juga mengintegrasikan agenda kelestarian ke dalam pelaburan kami," katanya pada taklimat laporan tahunan PNB bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2020 secara maya di sini, semalam.

Hadir sama, Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Ahmad Zulqarnain Onn.

Pada 2020, jumlah aset antarabangsa PNB meningkat 3.5 peratus untuk merangkumi 12.0 peratus daripada keseluruhan portfolio yang menghasilkan sumbangan jauh lebih besar iaitu 25.5 peratus kepada pendapatan kasar berbanding 11.6 peratus pada 2019.

Daripada 12.0 peratus aset antarabangsa, 8.7 peratus terdiri daripada pelaburan ekuiti awam yang meningkat daripada 5.9 peratus pada tahun sebelumnya.

Dari segi komposisi pendapatan kumpulan, sumbangan ekuiti global meningkat 18 kali ganda kepada RM3.7 bilion pada 2020.

Zeti berkata, tahun 2020 juga menyaksikan PNB mempelbagaikan rangkaian produknya dengan pelancaran ASN Imbang 3 Global pada September 2020, dana unit amanah pertama yang menumpukan kepada pelaburan global.

Beliau berkata, dana ke-15 PNB itu mendapat sambutan positif, dengan pelaburan lebih RM850 juta pada 31 Mac 2021.

Selain itu, produk inovatif lain turut diperkenalkan seperti Raiz Malaysia, aplikasi mudah alih pelaburan mikro pertama di negara ini yang mengumpul dan melaburkan wang baki pengguna secara automatik ke dalam dana harga berubah Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB).

"Sehingga Mac 2021, Raiz Malaysia berjaya menarik lebih 220,000 pendaftaran dengan dana di bawah pengurusan melebihi RM20 juta," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 April 2021 @ 7:10 AM