AIRASIA berbangga terima anugerah ini.
AIRASIA berbangga terima anugerah ini.
Oleh Sri Ayu Kartika Amri


TRANSFORMASI digital AirAsia kini diiktiraf di peringkat global setelah dinobatkan sebagai Pemangkin Digital Tahunan Asia Pasifik di Anugerah IDC Digital Transformation (DXa) 2019.

Menewaskan lebih daripada 11,000 syarikat yang tercalon, AirAsia meraih anugerah tertinggi IDC DXa setelah diiktiraf untuk pencapaian yang sama di DXa edisi Malaysia, baru-baru ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes berkata, pengiktirafan sebagai Pemangkin Digital Tahunan bagi Malaysia adalah satu pencapaian yang amat membanggakan.

“Apabila kami diiktiraf sebagai yang terbaik di Asia Pasifik, maka ia membuktikan bahawa usaha digital kami mempunyai impak yang besar terhadap tetamu kami di Malaysia dan dalam industri ini.

“Saya amat berbangga untuk menerima anugerah ini bagi pihak Allstars,” katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur, hari ini.

Anugerah terbabit mengiktiraf kecemerlangan syarikat yang dapat dilihat dan diukur melalui penggunaan pelbagai teknologi inovatif untuk menyediakan produk dan perkhidmatan yang lebih peribadi, mengoptimumkan pendapatan sampingan, dan meningkatkan mutu perkhidmatan pelanggan.

TONY Fernandes
TONY Fernandes

Antara teknologi baharu berkenaan termasuklah pengkomputeran awan, pengoptimuman tambang melalui pembelajaran mesin, bot sembang yang dikuasakan oleh kecerdasan buatan, ruang sembang menerusi aplikasi mudah alih, teknologi pengecaman wajah, dan banyak lagi.

IDC DXa juga mengiktiraf kepimpinan, bakat dan infrastruktur AirAsia luar biasa yang telah membantu dalam menyokong strategi digital baharu syarikat itu.

Anugerah terbabit diterima oleh Tony Fernandes di Pusat Konvensyen Raffles, Singapura, semalam.

Anugerah IDC DXa edisi ketiga ini mengiktiraf syarikat yang berjaya merancang dan melaksanakan transformasi digital di dalam satu atau beberapa bidang perniagaan mereka melalui aplikasi digital dan inovasi disruptif.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Oktober 2019 @ 6:34 PM