AIREEN (kanan) menerima anugerah bagi pihak AirAsia.
AIREEN (kanan) menerima anugerah bagi pihak AirAsia.

KUALA LUMPUR: AirAsia meraih anugerah Pemangkin Digital (Digital Transformer) Tahunan untuk Malaysia di Anugerah IDC Digital Transformation (DXa) 2019.

Anugerah ini mengiktiraf syarikat-syarikat yang cemerlang di dalam projek melalui sinergi pengurusan teknologi maklumat (IT) dan perniagaan, serta pengeluaran produk dan perkhidmatan digital dalam jangka masa berterusan.

AirAsia meraih anugerah tertinggi IDC DXa atas kecemerlangannya menggunakan pelbagai teknologi inovatif untuk menyediakan produk dan perkhidmatan yang lebih peribadi, mengoptimumkan pendapatan sampingan, meningkatkan mutu perkhidmatan pelanggan dan memacu transformasi kepimpinan, bakat dan infrastruktur untuk menyokong strategi digital baharu AirAsia.

Antara teknologi baharu yang diketengahkan adalah pengkomputeran awan, pengoptimuman tambang melalui pembelajaran mesin, chatbot yang dikuasakan oleh kecerdasan buatan, ruang sembang menerusi aplikasi mudah alih dan teknologi pengecaman wajah.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tony Fernandes juga memenangi anugerah DX Leader yang mengiktiraf peranan beliau sebagai pemacu visi transformasi digital serta evolusi syarikat penerbangan terbabit kepada sebuah syarikat perjalanan dan gaya hidup digital.

Presiden Kumpulan AirAsia (Redbeat Ventures), Aireen Omar menerima kedua-dua anugerah bagi pihak AirAsia di majlis IDC Digital Transformation Summit 2019 di sini, semalam.

Aireen berkata, anugerah itu tidak dapat dicapai tanpa Allstars yang turut berusaha untuk memenuhi visi digital yang dirancang.

“Tanpa pembabitan, ketabahan dan semangat mereka, kami tidak mampu mencapai sasaran dalam masa yang singkat,” katanya.

“Tidak lupa juga rakan kongsi perniagaan yang memberikan sokongan padu, terutamanya Google Cloud, yang bakal menjadi pemangkin transformasi AirAsia kepada sebuah syarikat berpandukan teknologi Cloud 100 peratus yang pertama di Malaysia pada hujung tahun ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 September 2019 @ 10:00 AM