Surina Shukri.
Surina Shukri.
Bisnes HM


Kuala Lumpur: Capital A Bhd melantik bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Surina Shukri sebagai Pengarah Bebas Bukan Eksekutifnya berkuatkuasa 31 Januari 2022.

Surina juga akan bertanggungjawab sebagai Ahli Jawatankuasa Pencalonan dan Imbuhan Kumpulan Capital A.

Ketua Pegawai Eksekutif Capital A, Tan Sri Tony Fernandes berkata, keputusan melantik profesional Malaysia yang berpengalaman seperti Surina bertujuan untuk menekankan komitmen dan tumpuan strategik Capital A dalam meningkatkan daya saing pasaran perniagaan baharunya, termasuk airasia Super App dan usaha e-dagangnya.

"Kumpulan yakin kehadiran Surina yang membawa pengalaman luas dan pemimpin yang diiktiraf serta dihormati dalam bidang transformasi digital, inovasi, kepelbagaian dan keterangkuman bakal membantu operasi perniagaan Capital A.

"Surina membawa pengetahuan dan kepakaran strategik sejajar dengan perkembangan dan pertumbuhan kami sebagai sebuah syarikat teknologi yang diiktiraf di peringkat global dengan misi untuk menawarkan nilai lebih besar kepada semua," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Surina berkata, AirAsia adalah syarikat yang sangat dikagumi kerana ia mempunyai daya tahan, semangat keusahawanan dan inovatif yang tersendiri.

Beliau berkata, walaupun industri penerbangan berdepan dengan krisis terhebat ddalam sejarah penerbangan komersial sekitar dua tahun kebelakangan ini, namun AirAsia terus berinovasi dan berubah daripada sebuah syarikat penerbangan kepada kumpulan perkhidmatan perjalanan dan gaya hidup digital sehenti.

"Dengan pasukan kepimpinan yang kukuh, disokong oleh kumpulan pengarah bebas baharu yang kuat, saya teruja untuk membantu membina syarikat ini menjadi juara global.

"Ini adalah masa paling mengujakan untuk menyertai AirAsia dalam revolusi seterusnya mengharungi era digital," katanya.

Sebahagian besar kerjaya profesional Surina berkembang di New York, termasuk 17 tahun pengalaman dalam bidang pelaburan di JPMorgan Chase & Co.

Surina adalah graduan program dwiijazah Pengurusan dan Teknologi dari Universiti Pennsylvania dengan Ijazah Sarjana Muda Sains dalam Ekonomi dari The Wharton School dan Sarjana Muda Sains Gunaan dalam Kejuruteraan Sistem dari Pusat Pengajian Kejuruteraan dan Sains Gunaan.

Beliau adalah alumni Maktab Rendah Sains Mara, Taiping.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Februari 2022 @ 1:02 PM