Kuala Lumpur: Kejayaan Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Group, Tan Sri Tony Fernandes yang memperkenalkan AirAsia sebagai jenama penerbangan tambang murah mendapat pengiktirafan apabila beliau dinamakan sebagai Pembina Jenama Terbaik Tahun Ini di Anugerah Penjenamaan Dunia 2014 di London, baru-baru ini.

AirAsia dalam kenyataan berkata, syarikat penerbangan itu turut dinamakan sebagai Jenama Terbaik Tahun Ini dalam kategori syarikat penerbangan. Ia menjadi satu-satunya pemenang dari rantau ini memperoleh skor tertinggi sebagai syarikat penerbangan tambang rendah di Malaysia, Singapura, Filipina, Indonesia dan Thailand.

Sebanyak 68 jenama dari 25 negara diberi penghargaan pada majlis berkenaan.

Tony berkata, anugerah itu satu penghormatan memandangkan penjenamaan sentiasa mendapat tempat yang istimewa dalam dirinya.

“Kami berasa bangga dengan kejayaan yang kami capai dalam tempoh lebih sedikit dari satu dekad ini.

“Kejayaan AirAsia seperti yang dilihat hari ini disokong oleh sikap yakin yang ada pada setiap individu yang menjadi anggota keluarga AirAsia,” katanya.

Menurutnya, sifat inovatif syarikat itu adalah faktor utama dalam meningkatkan jenama perniagaannya ke hadapan berbanding penerbangan lain.

Sementara itu, Pengerusi World Branding Forum, Richard Rowles berkata, ia mengambil masa bertahun untuk membina jenama yang kukuh dan diiktiraf.

Pemenang dinilai melalui empat bahagian, iaitu penilaian jenama kajian pasaran, undian pengguna melalui talian serta undian oleh Majlis Penasihat World Branding Forum yang terdiri daripada tokoh daripada dunia penjenamaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Oktober 2014 @ 5:24 AM