BARISAN ahli panel Forum Laluan Sutera.
BARISAN ahli panel Forum Laluan Sutera.
Sofyan Rizal Ishak

KUALA LUMPUR: Persatuan Industri Kebudayaan dan Hiburan China menganjurkan Forum Laluan Sutera bagi Kerjasama Industri Pelancongan dan Kebudayaan Digital bertujuan berkongsi idea mengenai topik kebudayaan digital China dan Malaysia dalam kalangan belia.

Setiausaha Agungnya, Kong Ming berkata, pihaknya positif mengenai pencapaian ekonomi, kestabilan dan pembangunan sosial serta keberkesanan kerjasama dalam projek pertukaran belia yang disumbang melalui industri kebudayaan digital.

“Kesan dan pengaruh kumpulan belia dalam pembangunan dunia adalah amat besar khususnya melalui budaya digital yang dilihat semakin popular serta menjadi keperluan asas harian bagi penduduk seluruh dunia.

“Industri kebudayaan digital seperti permainan animasi, sukan elektronik (e-sukan) atau muzik dalam talian bukan saja menjadi hiburan arus utama golongan muda di seluruh dunia malah, turut menjadi platform pergaulan, pertukaran idea serta kerjasama yang paling serasi dengan golongan muda masa kini,” katanya dalam forum yang diadakan di sini, baru-baru ini.

Forum Laluan Sutera bagi Kerjasama Industri Pelancongan dan Kebudayaan Digital dianjurkan oleh persatuan itu dengan kerjasama China Foreign Culture Group Co Ltd dan Pusat Kebudayaan Cina Kuala Lumpur.

Selain sesi perbincangan, acara itu turut mempromosikan Pameran Teknologi Kesusasteraan China dan Pameran Teknologi Produk Pelancongan serta aktiviti sukan, Piala Laluan Sutera Malaysia-China.

Kong Ming berkata, nilai tambah industri kebudayaan digital China adalah dalam lingkungan 1.03 trilion yuan hingga 1.19 trilion yuan manakala jumlah nilai pengeluaran adalah 2.85 trilion yuan hingga 3.26 trilion yuan dan ia dijangka menjadi industri utama dengan China menjadi negara terbesar dalam pengeluaran dan penggunaan budaya itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 September 2019 @ 12:00 PM