Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Sejumlah RM6.08 bilion sudah dimanfaatkan lebih 1 juta usahawan mikro melalui empat siri bayaran Geran Khas Prihatin (GKP) sejak Covid-19 melanda negara.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, daripada jumlah itu, bagi pembayaran terkini iaitu GKP 4.0, membabitkan implikasi kewangan sebanyak RM1 bilion dan bayaran RM500 bagi fasa pertama dikreditkan terus ke akaun bank yang didaftarkan mulai kelmarin.

Katanya, data yang digunakan adalah daripada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), pihak berkuasa tempatan dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

"Kerajaan terus komited untuk menyokong sektor perniagaan khususnya usahawan mikro dan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) melalui GKP.

"Ia bertujuan meringankan beban kewangan mereka supaya mampu mengharungi tempoh yang masih mencabar serta sebagai penambahan pelaburan kepada perniagaan," katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Mohd Fasiah Mohd Fakeh (PN- Sabak Bernam) yang meminta penjelasan mengenai pelaksanaan GKP dan bagaimana pula peranan bank-bank pembangunan dalam membantu peniaga kecil atau mikro supaya mereka dapat meneruskan perniagaan.

Katanya, bagi Institusi Kewangan Pembangunan (IKP), antara peranan utama adalah menyokong kelangsungan usahawan mikro serta PKS daripada segi memudah cara pembiayaan melalui pelbagai pakej pinjaman mudah.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz. FOTO AIZUDDIN SAAD
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz. FOTO AIZUDDIN SAAD

Katanya, baru-baru ini pihaknya menyarankan IKP untuk merangka penyelesaian yang lebih praktikal seperti penggunaan kriteria pembiayaan yang kurang membebankan supaya perniagaan dapat kembali pulih dan beroperasi secepat mungkin susulan pembukaan lebih banyak sektor ekonomi dan sosial.

"Setakat ini, dalam menyokong inisiatif yang diumumkan oleh kerajaan terutamanya berkaitan usahawan mikro dan PKS, IKP seperti Bank Simpanan Nasional, Bank Kerjasama Rakyat, Agrobank dan SME Bank melaksanakan pelbagai skim pembiayaan melalui dana Bank Negara Malaysia di mana jumlah keseluruhan adalah RM8.1 bilion.

"Melangkah ke hadapan, selain dari memudah cara pembiayaan bagi usahawan mikro dan PKS, IKP juga perlu menekankan strategi mengutamakan pelaburan, dan pemberian pinjaman bagi menyokong usahawan mikro dan PKS yang terbabit dalam inovasi peringkat awal, serta mereka yang sedang beralih ke arah operasi digital.

"Tambahan lagi, IKP juga perlu menumpukan usaha dalam menyokong usahawan mikro dan PKS yang terbabit dalam sektor yang menekankan aspek kelestarian," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 September 2021 @ 12:08 PM