MOHD Muazzam ketika majlis yang diadakan secara maya. FOTO Facebook Bank Islam
MOHD Muazzam ketika majlis yang diadakan secara maya. FOTO Facebook Bank Islam
BERNAMA

Kuala Lumpur: Bank Islam Malaysia Bhd bekerjasama dengan SME Corporation Malaysia (SME Corp) untuk menambah baik daya saing perusahaan kecil dan sederhana (PKS) negara.

Bagi tujuan ini, kedua-dua pihak telah memeterai memorandum persefahaman (MoU) untuk menyediakan secara bersama akses kepada PKS bagi menyertai pelbagai aktiviti seperti program latihan, anugerah serta produk dan perkhidmatan kewangan yang akan meningkatkan keupayaan dan kapasiti mereka.

Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam chief Mohd Muazzam Mohamedin berkata, MoU itu menandakan satu lagi kejayaan penting yang dicapai Bank Islam dalam usaha menjalin kerjasama strategik yang akan melibatkan bantuan kewangan dari segi modal kerja dan perbelanjaan modal, pembiayaan perdagangan dan perkhidmatan lain seperti Bancatakaful, pengurusan tunai dan penyelesaian e-perbankan.

"Kami berharap perkongsian strategik ini akan merangsangkan lagi pertumbuhan sektor PKS bagi memastikan daya tahan mereka untuk terus menyumbang kepada pembinaan semula negara pasca pandemik Covid-19," katanya dalam ucapan beliau ketika majlis permeteraian MoU secara maya itu, di sini, hari ini.

Mohd Muazzam berkata, Bank Islam menawarkan pelbagai kemudahan pembiayaan pembinaan kapasiti seperti SME Biz G.R.O.W, WinBiz, Business Premise Financing dan GO Halal SME, yang merupakan kemudahan pembiayaan kepada PKS untuk memulakan perniagaan diperakui halal.

Bank itu juga menyokong segmen PKS lebih meluas yang termasuk usahawan wanita, pemilikan tunggal dan penyedia perkhidmatan profesional.

Menurutnya, Bank Islam juga menyasar untuk berkembang daripada menumpukan semata-mata kepada pembiayaan kepada 'aktiviti ekosistem' dalam menyokong perusahaan, termasuk menyediakan transformasi digital kepada pelanggannya dan akan melancarkan aplikasi mudah alihnya SMEXpert tidak lama lagi.

"Inisiatif digital ini menyokong keseluruhan ekosistem PKS dengan sumber perniagaan dan kewangan untuk menyediakan peluang yang lebih baik bagi PKS untuk pertumbuhan dan kemampanan mereka," katanya.

Mohd Muazzam berkata, kerjasama terbaharu ini dengan SME Corp akan memberi manfaat kepada pelanggan PKS Bank Islam kerana mereka boleh mendaftar bagi Skim Pembiayaan PKS patuh Syariah (SSFS), skim yang membolehkan pelanggan yang layak menikmati rebat keuntungan dua peratus dengan pelbagai pakej pembiayaan disediakan.

"Kerajaan, menerusi SME Corp, memperuntukkan rebat keuntungan kepada pembiayaan PKS berjumlah RM4 bilion di bawah inisiatif SSFS. Sejak pemulaan skim pembiayaan pada 2013, Bank Islam telah menyokong 121 pelanggan PKS dengan pembiayaan berjumlah lebih daripada RM133 juta. Dengan penawaran menyeluruh untuk memberi manfaat kepada PKS, kami menyasar meningkatkan angka ini dengan permeteraian MoU hari ini," katanya.

Pengerusi SME Corp Datuk Seri Syed Hussein Al Habshee berkata, kerjasama strategik dengan Bank Islam itu merupakan sebahagian daripada usaha proaktif untuk menyediakan peluang perniagaan berdaya maju kepada PKS, terutamanya semasa tempoh mencabar ini di tengah-tengah penularan pandemik.

"Dengan memanfaatkan platform perniagaan kepada perniagaan yang ditawarkan oleh Bank Islam serta sokongan pembiayaan termasuk dalam kerjasama yang dinyatakan dalam MoU itu, kami berharap inisiatif tersebut akan membantu PKS mengekalkan operasi syarikat dalam situasi pandemik ketika ini.

"Untuk terus kekal berdaya saing, PKS perlu mempunyai kedudukan kewangan kukuh sebagai asas penting untuk mengorak langkah kehadapan kerana ia akan membantu mengurangkan cabaran yang dihadapi mereka sekarang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Ogos 2021 @ 4:44 PM