KAMAL Khalid di ‘AmBank Biz Conference Beyond Financing Series - Growing you business through digital marketing and branding’ di Aloft KL Sentral.
KAMAL Khalid di ‘AmBank Biz Conference Beyond Financing Series - Growing you business through digital marketing and branding’ di Aloft KL Sentral.
Sri Ayu Kartika Amri


MEDIA Prima Berhad (MPB), meneruskan inisiatif digitalnya dengan memberi tumpuan kepada pemasaran dan penjenamaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dengan menawarkan pakej pengiklanan pada harga rendah.

Pengarah Urusan Kumpulannya, Datuk Kamal Khalid berkata, pihaknya kini mengambil langkah menawarkan lebih banyak pilihan pengiklanan khususnya kepada pemilik perniagaan berstatus PKS.

“Persepsi PKS selama ini adalah pengiklanan di televisyen dan surat khabar terlalu mahal, disebabkan itu kami mengambil inisiatif menawarkan pakej pengiklanan yang rendah kepada PKS.

“Ini adalah asas kumpulan dalam memberi penekanan kepada keperluan PKS dan ia perlu lebih rendah atau bersamaan dengan pengiklanan digital yang lain.

“Kami juga mempunyai kelebihan dalam pengiklanan memandangkan kami mempunyai saluran pengiklanan digital dan tradisional,” katanya kepada media selepas Forum Ambank BizConference di Kuala Lumpur, hari ini.

Menurutnya, pihaknya turut bersedia menyahut cabaran untuk merealisasikan rancangan kumpulan sebagai syarikat kandungan digital media pertama di negara ini.

Katanya, selama ini MPB dikenali sebagai syarikat media tradisional dan kumpulan perlu berubah serta mengambil cabaran ini untuk beralih ke platform digital.

“Pada masa ini MPB memberi tumpuan kandungan dalam talian bagi memenuhi keperluan pelanggan dan pembaca kami.

“Tumpuan terhadap platform baharu ini juga membolehkan kumpulan menjadi peneraju dalam syarikat media tempatan di Malaysia serta peneraju dalam penyedia kandungan media di Malaysia,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Julai 2019 @ 7:02 PM