ARIA PUTERA. FOTO Salhani Ibrahim
ARIA PUTERA. FOTO Salhani Ibrahim
Sofyan Rizal Ishak

Lumpur

SME Bank, agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan (MED) bakal melaksanakan tranformasi digitalnya bertujuan memastikan institusi itu kekal relevan dalam landskap semasa dan menjadi antara pemain utama dalam ekosistem perusahaan kecil sederhana (PKS).

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Aria Putera Ismail berkata, transformasi itu seiring dengan perkembangan dan trend penggunaan Revolusi Industri Keempat (IR4.0) dan kecerdasan buatan (AI) yang sedang memacu perniagaan dekad ini.

“Ia akan membantu kami dalam melaksanakan konsep melangkaui perkhidmatan pembiayaan dan memupuk PKS secara lebih strategik melalui platform maklumat yang disediakan sekali gus mengemas kini tahap kemajuan masing-masing serta menghubungkan mereka dengan agensi kerajaan bersesuaian,” katanya pada Bisnes Metro di sini.

Beliau berkata, SME Bank mula melaksanakan transformasi digitalnya pada penghujung 2018 dan inisiatif itu dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh dua tahun.

Terdapat empat elemen utama dalam tranformasi itu membabitkan maklumat dan kepintaran PKS yang dibangunkan SME Bank untuk agensi, kad skor digital PKS, sistem pembiayaan elektronik (akaun digital) dan platform e-dagang.

“Kami kini sedang menjalinkan kerjasama dengan tiga rakan strategik bagi melengkapkan tranformasi digital SME Bank membabitkan Orion IXL, Telekom Malaysia Berhad (TM) dan Commerce.Asia,” katanya.

SME Bank bakal menyediakan penyelesaian teknologi kewangan (fintech) dengan kerjasama Orion IXL untuk membina kerangka kerja skor kredit tradisional dan alternatif untuk pelanggan SME Bank melalui pembangunan platform ScoreXcess.

Melalui TM, bank itu akan mendapat akses kepada infrastruktur serta perkhidmatan digital TM sekali gus membolehkannya meneroka penyelesaian digital untuk keperluan pembiayaan PKS.

“Melalui Commerce.Asia, SME Bank akan meningkatkan keupayaan Platform Digital PKS Kebangsaan melalui akses kepada lebih 700,000 pangkalan data usahawan PKS di Malaysia dan akses kepada ekosistem teknologi e-dagang melalui penyediaan platform e-dagang.

“Kami menjangkakan kad skor digital akan diperkenalkan terlebih dulu dalam tempoh terdekat diikuti e-dagang dan platform maklumat PKS manakala akaun digital pula menjadi fasa terakhir iaitu pada awal tahun depan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Julai 2019 @ 7:33 AM