SHEYANTHA (empat dari kiri)  dan Kevin (empat dari kanan) pada majlis kerjasama menawarkan pembiayaan kepada usahawan mikro dan PKS.
SHEYANTHA (empat dari kiri) dan Kevin (empat dari kanan) pada majlis kerjasama menawarkan pembiayaan kepada usahawan mikro dan PKS.
hmdigital

KUALA LUMPUR: Aspirasi, platform pembiayaan mikro dan penyedia perkhidmatan fintech di bawah Axiata Digital bekerjasama dengan platform e-dagang utama, Lazada Malaysia bagi menyediakan sokongan pembiayaan kepada perusahaan mikro dan usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Kerjasama ini memanfaatkan perkhidmatan kewangan digital hujung ke hujung Aspirasi yang menawarkan penyelesaian pembiayaan pantas dan mudah dalam usaha meningkatkan potensi pertumbuhan usahawan yang disenaraikan di Lazada Malaysia.

Pengarah Aspirasi, Sheyantha Abeykoon berkata, melalui penyelesaian modal kerja Aspirasi, peniaga boleh menikmati pembiayaan mudah dengan insurans percuma, rebat tunai selepas selesai bayaran balik dan caj sifar penyelesaian awal.

“Malah, peniaga juga boleh mendapat keputusan pembiayaan segera dan kemasukan wang tunai dalam akaun peniaga dalam tempoh 48 jam pada tempoh promosi dari sekarang hingga 31 Disember ini,” katanya.

Menurutnya, pihaknya memahami halangan dihadapi perusahaan mikro dan PKS yang mahu mengembangkan perniagaan masing-masing.

“Kami percaya kerjasama dengan Lazada Malaysia membolehkan kami menawarkan sokongan kepada peniaga dengan menyediakan akses kepada penyelesaian kewangan yang tidak boleh didapati melalui sektor tradisional.

“Dengan penyelesaian pembiayaan mikro Aspirasi, peniaga di platform itu boleh meluaskan peluang perniagaan,” katanya.

Ketua Pegawai Perniagaan Lazada Malaysia, Kevin Lee berkata, e-dagang adalah pemacu ekonomi utama bagi Malaysia dan Lazada memberi tumpuan untuk meningkatkan pertumbuhan PKS dengan alat, sokongan dan pembiayaan yang tepat.

“Kerjasama pihak yang sehaluan seperti Aspirasi bagi menyingkirkan halangan kepada perniagaan, kami mewujudkan pelan berterusan untuk ekonomi digital negara,” katanya.

Axiata Digital memberi tumpuan kepada pelaksanaan segera digital sejak 2014 di pasaran utama dengan menawarkan penyelesaian kewangan yang inovatif seperti e-dompet, pembiayaan mikro dan insurans mikro.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Oktober 2019 @ 7:24 AM