FOTO Amirudin Sahib
FOTO Amirudin Sahib
HM Bisnes

PAKEJ Rangsangan Ekonomi bakal dibentangkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad 27 Februari ini akan mengambil kira sokongan buat kumpulan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) khususnya dalam sektor pelancongan dan pembuatan.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof berkata, pihaknya kini giat mengenal pasti jumlah PKS yang terjejas, memperhalusi bentuk bantuan boleh disalurkan serta kaedah alternatif yang boleh diambil.

Jelas beliau, menjadi prinsip kementerian untuk memastikan PKS mampu kekal mapan dan lestari dalam pembangunan perniagaan mereka walau apa juga cabaran termasuk penularan wabak Covid-19.

“Kita perhalusi pelbagai perkara, misalnya, adakah kita boleh memberi tax holiday (pelepasan cukai) atau mungkin bantuan lain yang bersesuaian bagi memastikan pembuangan kerja tidak berlaku susulan wabak itu.

“Ada kilang di wilayah terbabit dengan Covid-19 ditutup apabila kilang terbabit membekalkan barangan yang kita import untuk tujuan nilai tambah di negara kita.

“Penutupan ini membuatkan operasi bagi industri pembuatan di sini yang memerlukan bekalan kilang berkenaan terjejas apabila pekerja tidak dapat meneruskan tugasan lalu perniagaan juga terhenti.

“Ini antara perkara yang kita tidak mahu berlaku dan kerajaan amat serius untuk memastikan ekonomi terus bergerak,” katanya selepas menyaksikan pertukaran perjanjian pelaburan strategik antara ekosistem e-dagang semua-dalam-satu, Commerce.Asia dengan aplikasi perniagaan, BizApp di sini, kelmarin.

Pertukaran dibuat antara Pengasas Commerce.Asia Ventures Sdn Bhd, Ganesh Kumar Bangah dan Pengasas BizApp Ventures Sdn Bhd, Hasnol Mizam Hashim.

Difahamkan, pelaburan dibuat Commerce.Asia membabitkan nilai lebih RM1 juta bersama BizApp memacu industri e-dagang sosial di Malaysia khususnya komuniti desa.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Februari 2020 @ 7:15 AM