ARIA Putera Ismail. FOTO arkib NSTP
ARIA Putera Ismail. FOTO arkib NSTP
BERNAMA

SMALL Medium Enterprise Development Bank Malaysia Bhd (SME Bank), agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan, memulakan program transformasi digital yang bertujuan untuk menawarkan perkhidmatan melepasi pembiayaan, kepada kemudahan dan penyelesaian baharu untuk PKS dan ekosistemnya.

Presiden Kumpulan/Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Aria Putera Ismail berkata, menerusi Program Pencepat Dua Tahun 2019-2020 yang bermula akhir tahun lepas, bank itu membentuk satu set arahan dan inisiatif baharu untuk meningkatkan perkhidmatannya, termasuk Platform Digital PKS Kebangsaan, selari dengan Dasar Keusahawanan Nasional 2030 (DKN 2030) untuk memperkasa penggunaan teknologi inovatif.

“Menerusi Pelan Digital SME Kebangsaan, empat komponen diperkenal oleh bank dalam masa terdekat dengan PKS bukan sahaja mempunyai lebih banyak akses kepada pembiayaan, dan pihak yang boleh membangunkannya, malah turut membantu mereka serta usahawan mikro untuk bergerak ke peringkat seterusnya dan berkembang menjadi pemain besar suatu hari nanti.

“Kami juga ingin memastikan bahawa di bawah hala tuju baharu ini, setiap ringgit yang kami belanjakan, akan mewujudkan impak sekunder untuk memberi sumbangan yang lebih tinggi kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) negara ini sejajar dengan DKN 2030,” katanya kepada Bernama.

Aria berkata dua daripada komponen - ‘insightXcess’ dan ‘scoreXcess’ - akan dilancarkan pada suku ketiga (Q3) tahun ini. Dua komponen lain ialah i ‘payXcess’ dan ‘bizXcess’ 2020.

Beliau berkata ‘insightXcess’ akan membolehkan SME Bank memahami persekitaran pasaran dan trend yang akan membolehkan Bank memberi perkhidmatan yang lebih baik kepada PKS.

’ScoreXcess’ ialah platform kad skor digital yang akan menyediakan kajian prakelulusan yang memanfaatkan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk agensi berkaitan apabila mereka menerima permohonan pembiayaan daripada SME.

Ini akan menjadi penggerak perubahan yang membolehkan akses kepada pembiayaan akan lebih cekap dan lebih pantas.

Sementara itu, bagi ‘payXcess’, Aria berkata, ia berfungsi sebagai akaun semasa digital, memudahkan pembayaran oleh agensi, serta profil pelanggan melalui Nilai Hayat PKS, untuk memudahkan agensi mengenal pasti program pembangunan yang sesuai untuk PKS berkembang ke peringkat seterusnya berdasarkan rekod prestasi pembiayaan mereka.

“Pelancarannya akan dilakukan setelah kami memenuhi semua syarat dan kelulusan Bank Negara Malaysia (BNM),” katanya.

“Komponen keempat, ‘bizXcess’, bukan sahaja menyediakan e-pasaran untuk perniagaan-kepada perniagaan (B2B) bagi memasarkan produk dan perkhidmatan malah juga bertindak sebagai pusat pemprosesan e-perolehan,” kata Aria .

Ditanya mengenai perbelanjaan modal (capex) yang telah diperuntukkan oleh SME Bank untuk perjalanan digitalisasinya, beliau berkata bank itu belum menanggung sejumlah besar modal karena inisiatif tersebut dilakukan melalui perkongsian strategik dengan entiti swasta.

“Kami mendapat sokongan dan komitmen daripada rakan kongsi kami untuk menyediakan platform berkenaan, tanpa perlu melabur dari segi kos kewangan. Ini penting kerana ia mengesahkan model perniagaan kami boleh dilaksanakan dan dapat direalisasikan,” katanya.

Selain itu, Aria juga yakin bahawa transformasi digital akan membantu bank mewujudkan aliran pendapatan baharu untuk bank dan pada masa yang sama menjadikannya lebih mampan dan relevan.

“Kami juga mahu meletakkan diri kita sebagai bank yang menyediakan pembiayaan berasaskan impak kepada PKS dan menjana kesan pengganda terhadap ekonomi Malaysia dari segi pendapatan, keuntungan, dan pekerjaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Ogos 2019 @ 3:48 PM