AHMAD Maslan (kiri) bersama Mohd Radzif ketika melancarkan SME Bank Xcess 2017, semalam.
AHMAD Maslan (kiri) bersama Mohd Radzif ketika melancarkan SME Bank Xcess 2017, semalam.
Hafiz Ithnin

Lumpur: SME Bank Berhad (SME Bank) komited membantu usahawan yang menggunakan platform e-dagang dan digital dengan meluluskan pembiayaan sebanyak RM70 juta tahun lalu daripada RM200 juta peruntukan yang disediakan pada tahun berkenaan.

Walaupun mempunyai baki RM130 juta tahun ini, SME Bank bersedia menambah peruntukan pembiayaan berkenaan jika ada permintaan daripada pemain industri.

Pengarah Urusan Kumpulan SME Bank Datuk Mohd Radzif Mohd Yunus berkata, kesediaan pihaknya memberi tumpuan kepada usahawan dalam operasi e-dagang dan digital sejajar dengan pengumuman kerajaan mencipta Zon Dagangan Digital Bebas tahun ini.

Beliau berkata, SME Bank melaksanakan pembangunan program perniagaan dalam segmen digital, BID-IT untuk usahawan muda berusia 20 hingga 35 tahun bagi meluaskan operasi perniagaan mereka menerusi platform digital dan e-dagang bermula awal tahun ini.

“Program itu berkonsepkan bimbingan dan usahawan terbabit perlu melalui pelbagai program pembangunan secara komprehensif sebelum mendapat akses pembiayaan daripada kami.

“SME Bank menjangka untuk melancarkan BID-IT akhir April ini dan orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut menerusi laman web, www.smebank.com.my,” katanya pada majlis pelancaran SME Bank XCESS 2017, di sini, semalam.

SME Bank XCESS 2017 dilancarkan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Ahmad Maslan dan program itu kali kedua diadakan tahun ini dengan menyasarkan 1,500 usahawan tempatan menghadirinya.

Menerusi SME XCESS 2017, usahawan boleh mendapatkan akses perundingan secara terus dengan pegawai SME Bank dan pelbagai agensi kerajaan berkaitan bagi meluaskan lagi perniagaan mereka.

Menurutnya, program itu berkesan apabila setakat tahun lalu, sebanyak RM1 bilion diluluskan pihaknya kepada usahawan daripada pelbagai sektor perniagaan.

“Program ini membuktikan SME Bank memberi akses mudah kepada usahawan tempatan mendapatkan perkhidmatan dan kemudahan pembiayaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Mac 2017 @ 7:45 AM