WONG (lima dari kiri) dan Lee (empat dari kiri) bersama kakitangan SSF pada Majlis Makan Malam Tahunan SSF 2019 di Pusat Konvensyen Setia City.
WONG (lima dari kiri) dan Lee (empat dari kiri) bersama kakitangan SSF pada Majlis Makan Malam Tahunan SSF 2019 di Pusat Konvensyen Setia City.
Alias Abd Rani

SHAH Alam: Rangkaian pusat sehenti perabot dan hiasan dalaman terkenal di Malaysia, SSF Creative Life Centre Sdn Bhd (SSF) mahu membuka 20 lagi cawangan baharu bermula tahun ini, sekali gus menjadikan keseluruhan 80 cawangan pada 2020.

Hasrat itu disuarakan Ketua Pegawai Eksekutif SSF, Wong Choong Loong berikutan perkembangan pesat dalam industri hiasan dalaman rumah sejak ditubuhkan pada 1987.

Katanya, walaupun berdepan situasi ekonomi yang mencabar, syarikat komited meletak sasaran selari dengan pertumbuhan semasa perniagaan yang mencecah 40 peratus pada masa ini.

“Tahun lalu, SSF membuka enam cawangan dan tahun ini, matlamat utama membuka 20 lagi cawangan baru sekali gus meningkat daripada 35 kepada 55 cawangan.

“Ia selari dengan sasaran utama syarikat menubuhkan 80 cawangan keseluruhannya pada 2020,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Tahunan SSF di Pusat Konvensyen Setia City di sini.

Hadir sama, Pengarah Eksekutif SSF, Lee Yon Onn.

Pada majlis itu, SSF turut melancarkan logo baru terdiri warna jingga yang melambangkan tujuan asas syarikat manakala biru menandakan kesetiaan terhadap nilai teras kepada pekerja dan pelanggan.

Wong berkata, SSF akan mengukuhkan strategi dalam negara dan mengembangkan perniagaan di rantau Asia dengan konsep reka bentuk yang unik, portfolio produk yang hebat dan strategi yang berkesan.

SSF merekodkan 30,000 jualan produk merangkumi perabot, bunga dan pokok tiruan, hiasan rumah, langsir, tilam, bilik tidur dan bilik air, permaidani, lampu hiasan, peralatan dapur dan aksesori pelamin serta perkahwinan sepanjang tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 April 2019 @ 9:15 AM