HAMZAH Zainudin. FOTO fail NSTP
HAMZAH Zainudin. FOTO fail NSTP
Hafiz Ithnin


Kuala Lumpur: Perbadanan Nasional Bhd terus membantu usahawan tempatan untuk menyertai industri francais menerusi Program Sembang Santai Francais (SSF) yang diadakan sepanjang tahun ini secara bersiri.

SSF yang akan diadakan sebanyak lima siri tahun ini akan membabitkan sekitar 50 peserta setiap sesi yang mana peserta program berkenaan di kalangan pemain industri francais utama akan berkongsi pengalaman perniagaan mereka kepada peserta dalam kalangan usahawan baru dan pelajar dari pelbagai universiti.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, pelaksanaan SSF adalah langkah positif yang dilaksanakan oleh PNS bagi membantu Malaysia mendapatkan sumbangan industri francais sebanyak 9.4 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2020.

"Saya berharap di bawah KPDNKK dapat terus membantu usahawan mengikut taraf perniagaan francais mereka seperti yang mempunyai potensi besar kita bawa mereka ke pasaran global dan yang baru kita adakan pelbagai program latihan seperti SSF ini.

"Walau bagaimanapun pemain industri sendiri perlu agresif untuk membangunkan perniagaan mereka dengan mempunyai ilmu keusahawanan, kreatif, kualiti dan mampu bertahan untuk jangka masa panjang dalam dunia perniagaan," katanya dalam ucapan perasmian program dan logi SSF di sini, hari ini.

Program SSF yang dianjurkan oleh PNS itu dibuka kepada orang ramai tanpa dikenakan sebarang yuran penyertaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 April 2016 @ 5:28 PM