TONG (kiri) dan Soam (kanan) pada sidang media ekspo HOC, semalam.
TONG (kiri) dan Soam (kanan) pada sidang media ekspo HOC, semalam.
Nabil Basaruddin

PETALING JAYA: Ekspo Kempen Pemilikan Rumah (HOC) 2019 yang akan berlangsung pada 1 hingga 3 Mac depan bakal menawarkan harga rumah di bawah RM300,000 menjadikan ia sebagai peluang terbaik untuk memiliki rumah.

Presiden Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA), Datuk Soam Heng Choon berkata, ekspo hartanah yang dianjurkan dengan kerjasama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) turut disertai lebih 50 syarikat pemaju terkemuka.

Beliau berkata, setakat ini 25 syarikat pemaju mengesahkan mereka akan menawarkan 17,348 unit rumah yang dianggarkan bernilai RM11.8 bilion pada ekspo itu.

“Sebahagian syarikat pemaju lagi masih menyemak dan menyusun jumlah unit hartanah yang dirancang untuk dijual pada ekspo hartanah yang akan berlangsung pada hujung minggu ini.

“Kebanyakan unit rumah pada ekspo ini adalah projek di sekitar Lembah Klang dan ia membabitkan rumah siap dan projek yang sedang dibangunkan, sekali gus memberi lebih banyak pilihan kepada pembeli.

“Dengan tawaran harga rumah yang berbeza, ekspo kali ini memenuhi keperluan pelbagai peringkat kumpulan pendapatan sama ada rendah, sederhana mahupun tinggi,” katanya pada sidang media ekspo itu di sini, semalam.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Penganjuran Ekspo HOC 2019, Datuk NK Tong.

Ekspo hartanah itu akan berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur dan dirasmikan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada hari pertama.

Soam berkata, selain pihak pemaju, ekspo itu akan disertai lima institusi kewangan seperti Maybank, RHB Bank, Public Bank, Hong Leong Bank dan Standard Chartered Bank bagi membantu memudahkan urusan transaksi semakan dan pembelian.

“Pavilion Kerajaan juga akan diwujudkan yang akan menampilkan projek oleh KPKT, Perbadanan PR1MA Malaysia, Syarikat Perumahan Negara Bhd (SPNB), Permodalan Nasional Bhd (PNB) dan UDA Holdings Bhd,” katanya.

Selain itu, ekspo itu turut mengadakan sesi sembang hartanah bersama pakar industri seperti Faizul Ridzuan dan Ahyat Ishak yang akan berkongsi ilmu dalam dunia hartanah tempatan.

Sementara itu, mengulas mengenai jualan rumah pada sepanjang tempoh HOC yang bermula Januari hingga Jun tahun ini, Soam berkata, pihaknya menjangkakan nilai jualan dapat mencecah sehingga RM4 bilion.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Februari 2019 @ 5:00 AM