HARGA rumah mampu milik dihadkan antara RM90,000 dan RM300,000.
HARGA rumah mampu milik dihadkan antara RM90,000 dan RM300,000.
Nabil Basaruddin

Kuala Lumpur: Dasar Perumahan Negara (DRN) 2018-2025 yang dilancarkan kerajaan baru-baru ini dijangka berupaya melonjakkan permintaan pembelian rumah dari kumpulan berpendapatan rendah (B40).

DRN yang diumumkan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin menekankan dua subdasar iaitu Dasar Perumahan Mampu Milik Negara (DRMM) dan pembangunan hartanah swasta.

Penganalisis Hong Leong Investment Bank (HLIB), Andrew Lim Ken-Wern berkata, berdasarkan dasar itu, harga rumah mampu milik yang dihadkan antara RM90,000 hingga RM300,000 yang bergantung kepada lokasi dan pendapatan menjadikan produk hartanah itu memenuhi keperluan pembelinya.

Katanya, dalam dasar yang diumumkan itu turut menyentuh mengenai Ekspo Pemilikan Rumah pada Mac depan apabila ia disertai lebih 180 pemaju hartanah dan menawarkan 22,000 unit rumah bernilai RM22.5 bilion.

“Ekspo itu usaha mengurangkan unit rumah tidak terjual dalam pasaran hartanah negara ketika ini.

“Berdasarkan semakan, kami mendapati akan terdapat beberapa pemaju akan menyediakan goodies tambahan kepada rebat sedia ada pada acara itu sebagai insentif kepada pembeli.

“Pemaju hartanah juga diminta menawarkan sekurang-kurangnya diskaun 10 peratus ke atas produk hartanah mereka,” katanya.

Meskipun DRN itu dilihat dapat memanfaatkan golongan B40, Andrew berkata, usaha itu tidak mampu memulihkan sentimen pasaran hartanah negara.

“Bagaimanapun, pemulihan ringan dalam sektor ini tidak dapat diketepikan memandangkan penilaian harga dan dengan pengenalan dasar baru berkaitan sektor perumahan ini,” katanya.

Dasar perumahan itu bertujuan untuk menyelesaikan isu penawaran dan permintaan perumahan yang tidak seimbang serta ketidakmampuan rakyat membeli rumah pada harga pasaran.

Malah, ia juga bermatlamat mengatasi kelemahan industri perumahan ketika ini yang tidak berinovasi, selain tiada sistem bersepadu untuk memastikan penawaran dan permintaan adalah sepadan.

Selain itu, inisiatif Dana Rumah Mampu Milik berjumlah RM1 bilion oleh Bank Negara Malaysia yang menyasarkan golongan berpendapatan tidak lebih daripada RM2,300 sebulan untuk membeli rumah pertama berharga sehingga RM150,000 juga dilihat sebagai langkah positif.

Ia antara pemangkin kepada peningkatan permintaan dari kumpulan B40 di negara ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Februari 2019 @ 11:02 AM