Sofyan Rizal Ishak

Petaling Jaya: QSR Brands (M) Holdings Bhd (QSR Brands) iaitu pengendali rangkaian restoran makanan segera terkemuka akan melancarkan tawaran awam permulaan (IPO) pada suku kedua tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif (Bahagian Restoran), QSR Brands (M) Holdings Bhd Merrill Pereyra berkata, dana yang diraih daripada IPO terbabit akan digunakan bagi tujuan pengembangan operasi di masa depan dan perbelanjaan kos IPO.

“Ada pelbagai khabar angin mengenai jumlah dana yang bakal diraih namun apa boleh dikatakan adalah kami akan membuat pengumuman rasmi mengenainya apabila kami sudah mendapat tarikh yang sesuai.

“Kami melihat tahun ini akan membawa prospek baik terutama sekali melalui aktiviti penyenaraian terbabit dan kami juga yakin dapat mencapai semua sasaran yang dibuat pada tahun ini,” katanya

QSR Brands mengendalikan operasi rangkaian restoran KFC, Pizza Hut serta produk jenama Ayamas dan Life.

Sementara itu, menurutnya anak syarikat QSR Brands, Pizza Hut Malaysia menyasarkan pembukaan cawangan ke-400 menjelang suku pertama tahun ini.

Malah, pihaknya akan membuka 15 cawangan baharu tahun ini bagi terus mengukuhkan kedudukannnya dalam pasaran.

“Kami juga akan mengukuhkan platform digital secara besar-besaran untuk memberikan keselesaan dan akses mudah bagi pengalaman menikmati makanan, bawa pulang dan penghantaran Pizza Hut.

“Selain peluasan cawangan fizikal, pembaharuan dalam aspek digital amat penting bagi menarik lebih ramai pelanggan dan memastikan kami kekal relevan di pasaran berikutan tabiat pelanggan yang pantas berubah,” katanya pada majlis makan tengah hari Pizza Hut Malaysia bersama media di sini, semalam.

Pada masa ini, syarikat itu memiliki 393 cawangan di seluruh negara dengan sebahagian besarnya membabitkan restoran manakala selebihnya adalah cawangan penghantaran Pizza Hut Delivery (PHD).

Merrill berkata, Pizza Hut Malaysia akan memberi fokus kepada golongan dewasa muda Malaysia sebagai sasaran utama di mana ia akan membawa kepada pelaksanaan kerjasama dengan pelbagai pihak pada tahun ini.

“Kami juga akan lebih aktif dalam aktiviti sosial bagi memberi peluang kepada kami untuk meluaskan jenama Pizza Hut di pelbagai platform untuk kekal segar dan signifikan dalam industri makanan dan minuman (F&B),” katanya.

Dalam masa sama, Pizza Hut Malaysia memperkenalkan menu piza terbaharunya bersempena Tahun Baru Cina ini iaitu piza Krabby Cheese yang kini boleh dinikmati di semua restoran, bawa pulang atau penghantaran bermula Januari hingga Februari depan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 January 2019 @ 9:53 AM