MOHAMED Azahari (kanan) bersama Pereyra (empat dari kiri) dan Das (kiri) selepas memeterai MoA antara QSR Brands dan foodpanda, semalam.
MOHAMED Azahari (kanan) bersama Pereyra (empat dari kiri) dan Das (kiri) selepas memeterai MoA antara QSR Brands dan foodpanda, semalam.
Nabil Basaruddin

Kuala Lumpur: QSR Brands (M) Holdings Bhd (QSR Brands) optimis kerjasamanya dengan foodpanda, penyedia perkhidmatan pesanan dan penghantaran makanan mampu menyumbang pertumbuhan 15 peratus kepada perolehan segmen perniagaan penghantaran makanan restoran KFC dan Pizza Hut.

Pengarah Urusan QSR Brands Datuk Seri Mohamed Azahari Mohammed Kamil berkata, pihaknya menjangka peningkatan yang diunjurkan itu mampu dicapai pada suku pertama tahun depan.

Beliau berkata, dalam tempoh lima tahun, pihaknya menjangka sumbangansegmen itu mampu berkembang sehingga 50 peratus kepada perolehan.

Katanya, usaha sama itu bakal memperlihatkan pelaksanaan kaedah menerusi saluran digital iaitu tempahan makanan dilakukan sama ada melalui laman web atau aplikasi mudah alih foodpanda.

“Perkara ini sejajar dengan strategi keutamaan pelanggan QSR Brands bagi mewujudkan akses perkhidmatan yang lebih baik di samping memacu pertumbuhan keuntungan.

“Jadi, kami menjangka sumbangan kira-kira 15 peratus kepada perolehan untuk segmen ini menjelang suku pertama 2019.

“Inisiatif strategik ini melengkapkan perkhidmatan penghantaran sedia ada dan dijangka meningkat kepada 480 restoran pada akhir 2018 dan 730 restoran menjelang 2019,” katanya selepas memeterai memorandum perjanjian (MoA) QSR Brands dan foodpanda di sini, semalam.

Majlis itu disempurnakan Ketua Pegawai Eksekutif Divisyen Restoran QSR Brands, Merrill Pereyra dan Pengarah Urusan foodpanda Malaysia, Sayantan Dass.

Mohamed Azahari berkata, jalinan kerjasama dengan foodpanda adalah langkah progresif bagi memperluas jaringan melalui usaha mempertingkat perkhidmatan dua jenama berkenaan.

Katanya, KFC dan Pizza Hut adalah jenama kegemaran rakyat negara ini dan ia memberi peluang kepada pihaknya memastikan pelanggan sentiasa merasai pengalaman terbaik apabila memilih untuk menikmati hidangan dua restoran itu.

Sementara itu, Dass berkata, dengan QSR Brands sebagai rakan kongsi rasmi, pihaknya dapat berkembang dalam memenuhi kehendak dan keperluan makanan halal kepada lima juta pengguna foodpanda menerusi khidmat 1,200 penunggang.

Perkhidmatan foodpanda untuk KFC dan Pizza Hut akan dilancarkan secara berperingkat mulai September depan di Lembah Klang, Johor Bahru dan Pulau Pinang.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Ogos 2018 @ 2:57 AM