KUAN (kiri) menyaksikan penyerahan perjanjian persefahaman antara Maybank dan syarikat pemaju Paragon.
KUAN (kiri) menyaksikan penyerahan perjanjian persefahaman antara Maybank dan syarikat pemaju Paragon.
Nora Mahpar

Kuala Lumpur: Fajarbaru Builder Group Bhd, KHK Group dan Beulah International, pemaju projek Paragon di Melbourne, memperoleh kemudahan pembiayaan bernilai hampir AS$100 juta (RM406 juta) daripada Maybank.

Perjanjian inisiatif pembiayaan itu dimeterai antara syarikat tujuan khas pembangunan projek itu, 320 Queen Street Pty Ltd dengan Malayan Banking Bhd (Maybank).

Fajarbaru memegang 22.22 peratus pegangan dalam syarikat tujuan khas itu, manakala KHK memiliki 35 peratus pegangan dan baki selebihnya dipegang oleh Beulah.

Pengarah Eksekutif Kumpulan Fajarbaru, Datuk Seri Eric Kuan Khian Leng berkata, Paragon adalah projek kedua di Melbourne yang dibangunkan kumpulan itu secara kerjasama dengan Beulah selepas projek usaha sama pertama, Gardenhill, yang memiliki nilai pembangunan kasar A$77 juta (RM230 juta) siap.

“Kami percaya pasaran pembangunan hartanah Australia akan terus menyediakan pendapatan kukuh bagi Fajarbaru pada tahun-tahun akan datang, didorong oleh peningkatan permintaan terhadap hartanah berkualiti tinggi,” katanya.

Kuan berkata, pada masa hadapan, Fajarbaru merancang mengusahakan projek pembangunan ketiga di Melbourne dengan Beulah, di mana ia akan memegang 49 peratus pegangan dalam projek pembangunan itu.

Kumpulan itu telahpun membeli sebidang lagi tanah di Northcote, Melbourne bagi projek terbaru itu yang diperuntukkan bagi sekurang-kurangnya 15 rumah bandar dengan anggaran nilai pembangunan kasar A$33 juta (RM99 juta).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Julai 2018 @ 3:30 AM