ISKANDAR Ismail. FOTO Nurul Syazana Rose Razman
ISKANDAR Ismail. FOTO Nurul Syazana Rose Razman
Rosyahaida Abdullah


GRAB mungkin berdepan denda lebih RM86.7 juta selepas Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) mengeluarkan keputusan cadangan terhadap syarikat pengendali e-hailing itu, hari ini berhubung penyalahgunaan kedudukan dominannya dalam pasaran.

Ketua Pegawai Eksekutif MyCC, Iskandar Ismail berkata, keputusan cadangan itu dikeluarkan selepas proses siasatan terhadap pelbagai aduan yang diterimanya sejak penggabungan Grab dan Uber pada penghujung Mac 2018 selesai.

Susulan itu kata beliau, Grab diberi tempoh 30 hari bermula hari ini bagi mengemukakan representasi pembelaan terhadap keputusan cadangan terbabit sebelum keputusan akhir dikeluarkan.

“Empat hari selepas Grab dan Uber bergabung tahun lalu, kami memanggil Grab untuk menanyakan hal penggabungan terbabit. Pada masa sama, kami turut menerima banyak aduan dan membuat penilaian sebelum memulakan siasatan ke atas mereka.

“Perlakuan Grab bukan saja memberi kesan kepada pemandu e-hailing dan pesaingnya malah memberi impak jangka panjang kepada pengguna. Adalah penting untuk memastikan pesaing kekal berupaya untuk berkembang demi persaingan sihat dalam pasaran,” katanya.

Dalam keputusan cadangan MyCC, Grab didapati menyalahguna kedudukan dominannya melalui pengenaan beberapa klausa yang membataskan pemandu daripada mempromosi dan menyediakan khidmat iklan kepada pesaing Grab dalam perkhidmatan e-hailing dan pasaran pengiklanan media transit.

Bercakap pada sidang media pengumuman keputusan cadangan itu, Iskandar berkata, klausa terbabit memberikan kesan mengganggu persaingan dalam pasaran berpremiskan platform pelbagai sisi itu dengan mewujudkan halangan kemasukan serta perkembangan kepada pesaing sedia ada dan masa depan.

“Oleh itu, MyCC bercadang mengenakan penalti kewangan berjumlah RM86,772,943.76 terhadap Grab.

“Ini tidak termasuk penalti kewangan harian sebanyak RM15,000 sehari bermula daripada hari penyerahan keputusan cadangan iaitu hari ini sekiranya mereka gagal mengambil tindakan pembetulan seperti diarahkan MyCC untuk menangani isu persaingan berkaitan.

“Ini bukan keputusan akhir. Grab mempunyai peluang untuk mengemukakan pembelaan termasuk untuk meminda klausa dalam tempoh ditetapkan,” katanya.

Keputusan cadangan itu selaras Seksyen 36 Akta Persaingan 2010 (AP2010) manakala pengenaan klausa berkenaan oleh Grab didapati melanggar Seksyen 10 AP2010.

Dalam pada itu, Iskandar turut memaklumkan pihaknya kini dalam perancangan untuk memasukkan kuasa penggabungan ke dalam akta bagi mengelak amalan penindasan dalam pasaran.

Berita berkaitan

Grab terkejut cadangan denda RM86.7 juta

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Oktober 2019 @ 1:51 PM