A view of Uber and Grab offices in Singapore March 26, 2018. REUTERS/Edgar SuEDGAR SU
A view of Uber and Grab offices in Singapore March 26, 2018. REUTERS/Edgar SuEDGAR SU
Luqman Arif Abdul Karim


PENGGABUNGAN Grab dan Uber di Asia Tenggara tidak akan memberi kesan kepada tambang perkhidmatan e-hailing.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, jaminan itu disuarakan dalam pertemuan dengan pengendali operasi Grabcar, semalam.

Katanya, kerajaan boleh mengambil tindakan undang-undang menerusi Akta Persaingan 2010 yang menyekat kuasa monopoli dan pakatan syarikat besar sekiranya Grabcar gagal berpegang kepada janji berkenaan.

"Sekiranya syarikat pengendali e-hailing itu didapati menaikkan tambang, kerajaan berupaya mengambil tindakan mengikut perundangan sedia ada," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Grab, penyedia perkhidmatan e-hailing Asia Tenggara mengambil alih operasi Uber Asia Tenggara secara rasmi daripada Uber Technologies Inc., semalam.

Perjanjian terbesar seumpamanya di Asia Tenggara itu bakal menyaksikan Grab melaksanakan penggabungan dengan perniagaan perkongsian perjalanan dan penghantaran makanan Uber di rantau terbabit melalui platform pengangkutan pelbagai modal serta teknologi kewangan sedia adanya.

Nancy menjelaskan, pihaknya difahamkan bahawa pemberhentian kerja kakitangan Uber perlu dilakukan bagi membolehkan Grab membuat tawaran baharu.

"Kakitangan Uber pada masa ini diberi cuti bergaji selama tiga bulan dengan faedah perubatan percuma sementara Grab mengkaji peranan baharu yang sesuai untuk mereka.

"Ini adalah proses peralihan untuk sementara waktu bagi membolehkan 80 kakitangan Uber menerima tawaran kerja daripada Grab," katanya.

Sehubungan itu, beliau menyuarakan harapan supaya tiada pihak yang cuba menangguk di air keruh dengan mempolitikkan proses penggabungan yang bukan sekadar berlaku di Malaysia, sebaliknya merangkumi seluruh Asia Tenggara.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Mac 2018 @ 9:29 PM