NORZAHID (dua dari kiri) menyerahkan kunci kereta  kepada pembeli pada majlis perasmian wajah baru Pusat 3S PROTON.
NORZAHID (dua dari kiri) menyerahkan kunci kereta kepada pembeli pada majlis perasmian wajah baru Pusat 3S PROTON.
Oleh Redzuan Muharam


Pasir Gudang: PROTON Holdings Bhd (PROTON) optimis mampu menguasai 30 peratus dalam segmen pasaran automotif tempatan menerusi jualan semua model kenderaannya termasuk Iriz yang baru dilancarkan pada September lalu.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Norzahid Mohd Zahudi berkata, 22,000 unit Proton Iriz sudah terjual dan pihaknya menyasarkan jualan 30,000 unit sehingga akhir tahun ini.

Menurutnya, selain mengukuhkan segmen pasaran, PROTON turut menumpukan usahanya untuk menaik taraf Pusat 3S (Jualan, Servis dan Alat Ganti) yang terletak di seluruh negara.

“Apa yang kami cuba lakukan kini memberi wajah baru kepada pusat servis sedia ada supaya pelanggan dapat menggunakan kemudahan ditawarkan secara optimum.

“Usaha menaik taraf ini penting kerana kebanyakan pusat servis berkenaan sudah lama beroperasi dan memerlukan perubahan agar pelanggan lebih selesa dan tidak menjadikannya sebagai tempat untuk membaiki kenderaan dan mendapatkan alat gantian semata-mata.

“Sehingga kini, 16 daripada 270 pusat servis di seluruh negara sudah dinaik taraf menjadi Pusat Servis 4S dan langkah ini sebahagian inisiatif yang diambil bagi melaksanakan pelan transformasi seiring dengan peranan PROTON sebagai pemain dalam industri automotif tempatan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Transformasi PROTON di Pusat Servis 3S Kulis Auto Sdn Bhd di Taman Bukit Dahlia, di sini, semalam.

Hadir sama Pengarah Urusan Kulis Auto Sdn Bhd Cawangan Taman Bukit Dahlia Sharifah Rodziah Syed Agil dan Pengurus Jualan Amir Abu Kassim.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 November 2014 @ 5:04 AM