AZMIR (kanan) bersama Jamil (dua dari kiri), Pengarah Lionhorn Pte Ltd, Kamal Almana (kiri) dan Abdulrahman (dua dari kiri) pada majlis pelancaran McDonald’s Bukit Bintang, semalam.
AZMIR (kanan) bersama Jamil (dua dari kiri), Pengarah Lionhorn Pte Ltd, Kamal Almana (kiri) dan Abdulrahman (dua dari kiri) pada majlis pelancaran McDonald’s Bukit Bintang, semalam.
Nabil Basaruddin

Kuala Lumpur: Komited dalam transformasi restorannya di seluruh negara, McDonald’s Malaysia memperuntukkan pelaburan kira-kira RM50 hingga RM100 juta dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang.

Peruntukan pelaburan berkenaan adalah sebahagian daripada pelan pertumbuhan sedekad perniagaan McDonald’s Malaysia di bawah pemilikan baru, Reza Group yang membabitkan pelaburan lebih RM1.4 bilion.

Pengarah Urusannya Azmir Jaafar berkata, sebagai usaha untuk mengembangkan perniagaannya, pengendali restoran makanan segera itu berhasrat membuka 450 cawangan restoran yang dapat menyediakan 10,000 peluang pekerjaan menjelang 2025.

Beliau berkata, setakat ini McDonald’s Malaysia mempunyai 265 restoran di seluruh negara dengan lebih 12,000 tenaga kerja yang menjadi penyumbang kepada prestasi cemerlang francais terkemuka itu.

“Sepanjang 35 tahun McDonald’s di Malaysia, kami sudah memberi perkhidmatan kepada lebih 13.5 juta pelanggan sebulan di seluruh negara kerana harga yang ditawarkan tidak jauh berbeza dengan harga makanan yang lain.

“Fokus berterusan kami adalah untuk mengekalkan nilai hebat pada harga rendah untuk semua hidangan membuktikan komitmen McDonald’s kepada pelanggan di Malaysia.

“Sepanjang empat tahun lalu, harga menu McDonald’s hanya mengalami kenaikan dua hingga tiga peratus setahun bagi memenuhi keperluan kos yang semakin bertambah serta kadar inflasi makanan kebangsaan di antara 3.5 hingga 4.5 peratus,” katanya pada majlis perasmian restoran McDonald’s Bukit Bintang di sini, semalam.

Hadir sama Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Datuk Seri Jamil Salleh dan Pengarah Lionhorn Pte Ltd Abdulrahman Alireza.

Wajah baru McDonald’s Bukit Bintang turut menyaksikan pelancaran restoran berkonsepkan moden, inovatif, mudah dan cepat bagi keselesaan pengunjung.

Azmir berkata, antara transformasi yang dilakukan adalah pelanggan McDonald’s kini tidak perlu beratur panjang kerana mereka boleh menggunakan kiosk layan diri atau self-ordering kiosk (SOK) untuk membuat pesanan dan pembayaran.

“Selain menjimatkan masa ketika keluar rehat waktu kerja, SOK juga menyediakan khidmat transaksi tanpa tunai bagi memudahkan pelanggan membuat bayaran menggunakan kad kredit atau debit,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Disember 2017 @ 12:35 AM