SHAHIDAN (tengah)  bersama Azmir (kiri) melintasi lintasan pejalan kaki "Fries" McDonalds selepas Majlis Pelancaran Lintasan Pejalan Kaki "Fries" McDonalds di Jalan Bukit Bintang, Kuala Lumpur. FOTO Aizuddin Saad
SHAHIDAN (tengah) bersama Azmir (kiri) melintasi lintasan pejalan kaki "Fries" McDonalds selepas Majlis Pelancaran Lintasan Pejalan Kaki "Fries" McDonalds di Jalan Bukit Bintang, Kuala Lumpur. FOTO Aizuddin Saad
Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: McDonald's Malaysia merancang untuk terus mewujudkan peluang pekerjaan kepada warga kota dengan pembukaan 30 cawangan McDonald's baharu di sekitar Kuala Lumpur.

Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald's Malaysia, Datuk Azmir Jaafar berkata, setakat ini pihaknya mempunyai kira-kira 60 rangkaian McDonald's di Kuala Lumpur.

Katanya, jumlah itu dijangka terus bertambah pada masa akan datang.

"Menjelang 2026, dalam perancangan syarikat, kami menyasarkan untuk membuka 30 lagi cawangan baharu.

"Kami menjangkakan terdapat sekitar 100 restoran McDonald's di Kuala Lumpur menjelang 2026.

"Kami percaya dengan pembukaan restoran McDonald's ini nanti mampu mewujudkan peluang pekerjaan sekali gus membantu pembangunan bandar raya Kuala Lumpur.

"Dijangkakan antara 3,000 ke 4,000 peluang pekerjaan bakal diwujudkan menerusi pembukaan 30 cawangan baharu McDonald's di ibu kota," katanya kepada media selepas majlis pengenalan lalu lintas pejalan kaki Fries McDonald's di sini, semalam.

Hadir sama, Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim.

Azmir berkata, idea lalu lintas berbentuk kentang goreng McDonald's itu hasil kerjasama dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi mentransformasi pejalan kaki sedia ada di Bukit Bintang serta menjadikannya daya tarikan pengunjung.

Menurutnya, dengan membuka cawangan baharu, McDonald's turut menyumbang kepada pembangunan sekitarnya.

"Biasanya, untuk membuka satu restoran modal diperuntukkan lebih kurang RM6 juta dan daripada situ selalunya kita akan mengindahkan sekali kawasan sekitar.

"Begitu juga kawasan sekitar McDonald's memang selalu menjadi daya tarikan untuk peniaga lain datang seterusnya menjadi pencetus perkembangan kepada setiap lokaliti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Mac 2022 @ 8:23 AM