PEMBUKAAN cawangan terbaharu sejajar visi McDonald’s Malaysia  2026 buka 500 restoran McDonald’s secara keseluruhan di Malaysia. - Gambar NSTP/SAIFULLIZAN TAMADI
PEMBUKAAN cawangan terbaharu sejajar visi McDonald’s Malaysia 2026 buka 500 restoran McDonald’s secara keseluruhan di Malaysia. - Gambar NSTP/SAIFULLIZAN TAMADI
Oleh Hajar Umira Md Zaki


Petaling Jaya: McDonald's Malaysia bakal membuka 35 cawangan restoran baharu, sekali gus menjadikan lebih 350 restorannya di seluruh Malaysia hingga akhir tahun ini.

Pembukaan setiap cawangan baharu bakal membabitkan pelaburan sehingga RM7 juta bagi setiap cawangan.

Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald's Malaysia, Datuk Azmir Jaafar berkata, pembukaan cawangan terbaharu ini adalah sejajar dengan visi McDonald's Malaysia 2026 dalam membuka 500 restoran McDonald's secara keseluruhan di Malaysia.

"McDonald's Malaysia bakal membuat pelaburan sejumlah RM1.35 bilion dalam tempoh lima tahun akan datang bagi membuka 205 restoran cawangan baharu.

"Bagi mencapai Visi McDonald's Malaysia, kami turut bakal menawarkan 50,000 peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia menjelang 2026.

"50,000 kekosongan pekerjaan akan membantu meningkatkan lagi pertumbuhan syarikat dan menyokong operasi restoran masa kini yang semakin berkembang sejak dua tahun lalu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Pengumuman Pelan Pengembangan Perniagaan dan Rekod Jualan McDonald's Malaysia 2021, di McDonald's Mutiara Damansara di sini,

Dalam pada itu, McDonald's Malaysia turut mengumumkan rekod jualan dengan peningkatan sehingga 15 peratus pada tahun 2021.

Azmir berkata, peningkatan terbabit adalah susulan kemampuan pihaknya dalam memberi tumpuan kepada pemacu utama perniagaan, iaitu Pandu-Lalu, McDelivery, Platform Digital dan McCafe.

"Lima puluh peratus daripada peningkatan terbabit adalah daripada Pandu Lalu, 35 peratus adalah bahagian pasaran McDelivery serta 23.5 peratus bahagian pasaran dimiliki oleh McCafe.

"Platfrom Digital McDonald's Malaysia turut menyaksikan pertumbuhan pantas dengan lebih sembilan juta muat turun aplikasi McDonald's sejak dilancarkan pada tahun 2018.

"Bahkan ciri baharu Mobile Order & Collect dijangka akan memantapkan lagi perkhidmatan platform digital McDonald's dalam tempoh 12 bulan akan datang," katanya.

Azmir berkata, pihaknya akan terus memberi tumpuan kepada kepantasan, ketepatan dan keselesaan dengan terus meningkatkan segmen perniagaan kami iaitu Pandu-Lalu, McDelivery, Platform Digital dan McCafe.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Mac 2022 @ 6:15 AM