McDonald’s Malaysia mahu pacu pertumbuhan dua angka setiap tahun sehingga 2025. FOTO Rohanis Shukri
McDonald’s Malaysia mahu pacu pertumbuhan dua angka setiap tahun sehingga 2025. FOTO Rohanis Shukri
Sofyan Rizal Ishak


PETALING JAYA:McDonald’s Malaysia menyasarkan jualan RM3 bilion pada tahun ini selepas mencatatkan pertumbuhan jualan sebanyak 19 peratus tahun ke tahun pada tahun lalu.

Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatannya, Azmir Jaafar berkata, bagaimanapun enggan mengulas mengenai angka jualan pada tahun lalu.

Menurutnya, syarikatnya turut menyasarkan pertumbuhan dua angka pada setiap tahun sehingga 2025 dengan pertumbuhan minimum 15 peratus pada setiap tahun.

“Tahun lalu adalah tempoh yang baik kepada McDonald’s Malaysia di mana kami merekodkan prestasi jualan tertinggi dalam sejarah dipacu melalui pelaburan lebih daripada RM200 juta sejak dua tahun lalu,” katanya pada sesi taklimat perniagaan McDonald’s Malaysia 2019, semalam.

Beliau berkata, syarikat memperuntukkan pelaburan lain bernilai RM1 bilion sehingga 2025 daripada RM1.4 bilion bagi perbelanjaan modal (capex) yang diperuntukkan sejak 2016 yang akan fokus kepada pelbagai bidang termasuk tawaran menu tempatan, segmen digital dan penerokaan komuniti.

“Kami melabur RM1.4 bilion bermula pada 2016 hingga 2025 dan masih memiliki kira-kira RM1 bilion untuk tahun ini di mana kami sudah melabur RM200 juta sepanjang dua tahun lalu,” katanya.

Dalam perkembangan sama, syarikat itu berhasrat untuk membuka 170 cawangan restoran baharu di seluruh negara menjelang 2025, memodelkan kembali lebih 200 restoran dan mewujudkan sebanyak 10,00 peluang kerja baharu.

Menurutnya, McDonald’s Malaysia turut merancang untuk membuka 20 cawangan restoran pandu lalu baharu pada tahun ini bagi melengkapkan 167 cawangan restoran pandu lalu sedia adanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Mei 2019 @ 6:53 AM