CERIA mengikuti program bersama pelajar UiTM.
CERIA mengikuti program bersama pelajar UiTM.
Fazurawati Che Lah


UNIVERSITI Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Melaka, Kampus Alor Gajah melalui Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (FKPM) merapatkan hubungan dengan murid Sekolah Kebangsaan (SK) Jeram, Masjid Tanah melalui aktiviti sains, baru-baru ini.

Program Mass Comm Take Over 2019 anjuran Kelab Komunikasi dan Media (KOMED) itu bertemakan Eksplorasi Dunia Sains memberi peluang kepada murid tahun empat dan tahun lima menjalankan eksperimen sains dengan bantuan pakar dari universiti itu.

Slot ‘slime making’, ‘spinning colour’ dan ‘running water’ adalah aktiviti pendedahan sains yang menarik apabila murid teruja melihat reaksi kimia yang wujud daripada bahan kegunaan harian seperti pewarna, peluntur, sabun dan gam.

Pensyarah kanan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media UiTM Kampus Alor Gajah, Siti Nurshahidah Sah Allam, berkata selain menarik minat murid dengan aktiviti sains, aktiviti itu juga membantu meningkatkan prestasi komunikasi.

“Mempelajari sains tidak hanya melalui eksperimen, malah platform itu perlu dipelbagaikan seperti melalui pertandingan bercerita, pidato dan syarahan.“

Murid tahun enam dilatih dalam konteks pengucapan awam untuk memberi syarahan dengan tema Dimensi sains, Eksplorasi Kreativiti.

“Murid diajar dengan teknik pengucapan awam berkesan, di samping teknik menangani ketakutan di pentas oleh pensyarah FKPM,” katanya.

Katanya, program itu tidak terbatas kepada murid sahaja, apabila guru turut mengambil bahagian dalam pertandingan Champion Photographer untuk dimuat naik ke media sosial dan hasilnya dinilai pensyarah kursus fotografi.

“Pendedahan berkenaan teknik asas fotografi sebagai usaha meningkatkan kewujudan SK Jeram di media sosial melalui gambar yang berkualiti,” katanya.

Selain itu, pelajar Tahap Satu (tahun satu hingga tiga) turut disediakan slot pertandingan mewarna dengan tema Eksperimen Sains yang bertujuan memupuk minat dalam bidang itu dari awal supaya tidak asing dalam kalangan warga sekolah.

Hadir sama menyaksikan aktiviti itu ialah Guru Besar SK Jeram, Faezah Esa.

Faezah berkata, perkongsian mahasiswa FKPM bersama warga sekolah secara langsung memberi peluang perkongsian ilmu dan kemahiran dalam mempelbagaikan aktiviti pengajaran serta pembelajaran.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Julai 2019 @ 9:48 AM