PELAJAR mencari bukti untuk membezakan antara sel haiwan dan tumbuhan dalam biologi dengan bimbingan fasilitator.
PELAJAR mencari bukti untuk membezakan antara sel haiwan dan tumbuhan dalam biologi dengan bimbingan fasilitator.

Belajar sains sambil bermain sangat menyeronokkan kepada 117 pelajar keturunan Orang Asli Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Muhibbah, Sungai Siput, Perak, menerusi Kem Eksplorasi Sains (KES) selama tiga hari di sekolah itu, baru-baru ini.

Peluang itu dimanfaatkan sepenuhnya pelajar tingkatan dua dan tiga kerana ia bukan saja julung kali diadakan, tetapi juga pelbagai aktiviti dan eksperimen berkaitan sains dilakukan secara kreatif dapat dihayati mereka bagi mendalami ilmu dan praktikal.

Semua aktiviti dan eksperimen itu dibimbing 37 pelajar Fakulti Sains, Universiti Putra Malaysia (UPM) selama tiga hari di sekolah itu yang bertindak sebagai fasilitator. Mereka turut dibantu 12 saintis muda yang pakar di bidang kimia, fizik, biologi dan matematik supaya objektif KES lebih berkesan.

Antara yang dilakukan ialah pengujian roket air yang dicipta pelajar Orang Asli daripada bahan terbuang seperti botol minuman, kotak dan kad manila. Mereka kemudian menguji inovasi itu dengan melancarkan ke udara dan diambil markah setiap kumpulan oleh fasilitator.

Sekumpulan pelajar lain diberi tugasan menyelesaikan satu kes pembunuhan berdasarkan beberapa bahan bukti seperti cap jari, darah sintetik dan sel dengan perlu menganalisis cap jari, darah dan sel suspek terbabit untuk dipadankan dengan klu pembunuh bagi mengenal pasti siapa pembunuhnya melalui cara eksperimen.

Perlumbaan saintis dengan aktiviti berbentuk eksplorace sebanyak 12 titik semak dan tugasan mengapungkan klip kertas di dalam air, permainan bingo (penyelesaian masalah dalam matematik), cari perbezaan sel (membezakan sel haiwan dan tumbuhan) dan membina model molekul (menggunakan alat model ‘ball and stick’) antara aktiviti yang menarik minat pelajar.

Pelajar turut diajar melakukan eksperimen konsep biasan cahaya dalam cecair, eksperimen untuk menghasilkan indicator pH semula jadi daripada ekstrak kubis merah bertukar menjadi warna yang berbeza-beza.

Pelajar SMK Muhibbah Mohamad Faizal Ismail, 15, berkata, meskipun dia dan rakannya sebelum ini tidak pernah melakukan aktiviti dan eksperimen seperti itu, merasa teruja apabila diberi tunjuk ajar oleh fasilitator.

“Kami tidak berpeluang melakukan aktiviti dan eksperimen seperti ini, malah merasakan tidak perlu kerana ia sebelum ini tidak didedahkan kepada kami seperti ini dan kerana latar belakang keluarga yang tinggal di kawasan hutan,” katanya.

Rakannya, Nor Ayu Liana Mat Jali, 15, berkata, dia bertambah minat terhadap pelajaran sains selepas mengikuti kem KES kerana ia turut membuka mindanya terhadap realiti sesuatu perkara dan untuk kemajuan.

“Sains menjadikan kita lebih kreatif, inovatif dan belajar terhadap kebenaran sesuatu perkara selain menuntut kita supaya kerja secara berpasukan untuk lebih berjaya,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Kem, Siti Huzaimah Ribut, 23, berkata, pengisian KES menggunakan situasi baharu di luar bilik darjah seperti itu lebih menggalakkan pelajar berfikir berdasarkan fakta dan kajian.

“Melalui aktiviti dan eksperimen yang dibuat menjadikan mereka lebih berminat terhadap sesuatu perkara sehingga menyebabkan keinginan untuk mereka lebih tahu amat tinggi dan inilah kejayaan kami,” katanya yang sudah enam kali berpengalaman menjadi fasilitator di sekolah daripada program UPM.

Perasmian kem disempurnakan Timbalan Dekan Penyelidikan dan Siswazah Fakulti Sains UPM Prof Dr Mohd Basyaruddin Abdul Rahman.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Julai 2016 @ 12:13 PM