PELAJAR bersama kakitangan Perbadanan Kota Buku.
PELAJAR bersama kakitangan Perbadanan Kota Buku.
Fazurawati Che Lah


SERAMAI 20 pelajar dan seorang pensyarah daripada Program Penerbitan, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (FKPM), UiTM Shah Alam bekerjasama dengan Perbadanan Kota Buku menganjurkan Kuala Lumpur Trade and Copyright Centre (KLTCC) 2019 .

Acara yang berlangsung selama tiga hari bermula 22 April lalu di Menara Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi (PTPTN) turut mendapat sokongan PTPTN, Majlis Buku Kebangsaan Malaysia dan Sasbadi.

KLTCC adalah platform yang menjalankan aktiviti dagangan kandungan antara penerbit dan pencipta kandungan dari seluruh negara.

Penganjuran kali ini menjadikan Korea Selatan sebagai negara fokus membabitkan 21 syarikat penerbitan, teknologi gamifikasi dan juga digital.

Beberapa negara lain juga turut mengambil bahagian termasuk Indonesia, China, Filipina dan Thailand.

Pada masa sama, negara yang mengambil bahagian turut berpeluang dan mempunyai potensi untuk menjual atau membeli karya dari negara lain. Dalam erti kata lain, syarikat ini berdagang hak cipta dengan syarikat yang mempunyai potensi karya penerbitan yang bagus.

Pensyarah Kanan Bidang Penerbitan FKPM, Zaiha Ahmad berkata, selaku pensyarah penasihat program berkenaan, pembabitan pelajar memberikan banyak pengalaman dan ilmu kepada mereka yang mengikuti program itu.

ZAIHA (kanan) berkongsi pendapat dan maklumat bersama penulis buku kanak-kanak.
ZAIHA (kanan) berkongsi pendapat dan maklumat bersama penulis buku kanak-kanak.

“Sebagai pensyarah juga, saya berpeluang berkongsi pendapat dan berbincang berkenaan keperluan industri semasa dengan penerbit selain merancang beberapa program kerjasama yang lain pada masa akan datang.

“Peserta bukan saja memenuhi sebahagian keperluan kursus Print and Society yang diikuti pelajar semester lima ini, tetapi ia juga sebagai platform yang mampu memberikan ilmu dan pendedahan di luar kelas kepada mereka.

“Pelajar program penerbitan sendiri umpamanya rata-rata berpendapat program berkenaan memberikan nilai tambah kepada pengetahuan mereka berkenaan industri penerbitan bukan sahaja di Malaysia, malah di negara lain.

Ketika sesi ‘Market Talk’ dijalankan, pelajar berpeluang mendengar perkongsian daripada wakil syarikat penerbitan dari Korea, China dan Indonesia berkenaan industri penerbitan di negara masing-masing.

Acara berkenaan memfokuskan kepada aktiviti ‘Business Matching’ bagi menyediakan ruang kepada semua penerbit untuk melakukan aktiviti jual beli hak cipta.

Ketika aktiviti itu berlangsung, pelajar juga berpeluang membantu penerbit berjumpa dengan mereka yang berminat dan berpotensi melakukan aktiviti jual beli hak cipta karya penerbitan dari negara masing-masing.

Dua pelajar, Nayli Batrisyia Abdul Jabar dan Aaina Nabilah Mahadi berpeluang membantu pihak penerbit PT Rumah Pensil Publisher dari Indonesia selaku penterjemah ketika sesi perbincangan PT Rumah Pensil Publisher dengan penerbit negara luar yang lain.

Pelajar turut didedahkan kepada sesi perbincangan antara wakil penerbit negara berkenaan praktik industri buku dan cara menawarkan jual beli hak cipta kandungan penerbitan mereka.

Ini adalah kali pertama pelajar didedahkan secara langsung kepada proses jual beli kandungan penerbitan dengan negara luar.

Pada akhir program, beberapa pelajar terbabit dengan sesi ‘content tour’ iaitu kumpulan penerbit dari Korea Selatan yang dibawa Perbadanan Kota Buku untuk melawat beberapa syarikat penerbitan dan kedai buku di sekitar Kuala Lumpur.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Mei 2019 @ 9:47 AM