Hamilton sokong GP Las Vegas. -FOTO Reuters
Hamilton sokong GP Las Vegas. -FOTO Reuters
AFP

Las Vegas: Juara dunia Formula Satu tujuh kali Lewis Hamilton mempertahankan penganjuran Grand Prix Las Vegas selepas juara dunia semasa Max Verstappen mengkritik GP berkenaan.

Verstappen dari Red Bull berkata perlumbaan itu adalah "99 peratus pertunjukan dan satu peratus acara sukan" dan berkata trek jalanan itu "tidak menarik."

Pemandu lain termasuk Lando Norris dari McLaren dan Carlos Sainz dari Ferrari turut mempersoalkan jumlah komitmen yang perlu dilakukan oleh pemandu sepanjang perlumbaan.

Komen dilemparkan selepas majlis perasmian yang meriah dengan pertunjukan dron dan persembahan daripada penyanyi Australia Kylie Minogue, tidak mungkin menggembirakan pemilik F1 Amerika, Liberty Media yang juga promoter perlumbaan Vegas.

Namun Hamilton sebaliknya berkata bahawa perkembangan sukan di Amerika Syarikat adalah perkembangan yang dialu-alukan dan memuji pelabur Amerika dan Ketua Pegawai Eksekutif Formula Satu, Stefano Domenicali.

"Saya dengar ada ramai orang tidak bersetuju dengan hala tuju Stefano dan Liberty. Tetapi mereka melakukan kerja yang menakjubkan," kata pemandu Mercedes itu.

"Sukan ini terus berkembang. Ia adalah perniagaan dan anda masih akan melihat perlumbaan yang bagus di sini. Ia adalah negara untuk meneroka dan benar-benar memikat penonton," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 November 2023 @ 10:22 AM