HAKIM Danish mencipta sejarah muncul juara ATC 2022. FOTO FB HAKIM DANISH
HAKIM Danish mencipta sejarah muncul juara ATC 2022. FOTO FB HAKIM DANISH
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Litar Antarabangsa Sepang (SIC) mempunyai perancangan cukup rapi untuk pelumba muda negara, Hakim Danish Ramli dalam usaha meletakkannya beraksi di Kejohanan Motosikal Dunia pada masa depan.

Selepas melakar sejarah muncul juara keseluruhan di Asian Talent Cup (ATC) 2022, Ahad lalu, Hakim Danish akan dipertaruh untuk beraksi di saingan lebih mencabar iaitu Red Bull MotoGP Rookies Cup pada tahun depan selain beraksi semusim lagi di European Talent Cup (ETC).

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SIC, Azhan Shafriman Hanif berkata, pihaknya serta ZK Racing yang menguruskan Hakim Danish sememangnya sudah mengadakan perbincangan untuk mencorak karier pelumba berusia 15 tahun itu.

"Kalau nak ikutkan perancangan kami adalah untuk Hakim Danish beraksi di saingan Moto3 dekat CEV (Kejuaraan Dunia JuniorGP), tapi disebabkan had umur, dia belum boleh sertai kejohanan itu.

"Apapun kami terus membantu Hakim Danish untuk berlumba di ETC dan Red Bull Rookies pada tahun depan. Kami nampak Hakim Danish sebagai permata yang masih perlu digilap.

"SIC bersama Zulhfami Khairuddin dan pasukannya akan terus cuba membawa Hakim Danish ke tahap lebih tinggi seperti Zulfahmi dan Hafizh (Syahrin Abdullah) yang pernah beraksi di MotoGP," katanya.

Hakim Danish muncul juara keseluruhan ATC pada pusingan terakhir di Litar Antarabangsa Mandalika, Ahad lalu selepas mengumpul 187 mata, sekali gus berjaya mengetepikan pesaing terdekat dari Jepun, Shinya Ezawa.

Sejak diperkenalkan pada 2014, belum pernah ada pelumba negara muncul juara keseluruhan dengan wakil Jepun menguasai saingan apabila Kaito Toba (2014), Ayumu Sasaki (2015), Sho Nishimura (2019) dan Taiyo Furusato (2021) pernah mengecapi nikmat juara.

Antara pelumba negara lain yang pernah merangkul juara keseluruhan ialah Somkiat Chantra (Thailand), Deniz Oncu (Turki) dan Billy Van Eerde (Australia).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 November 2022 @ 7:44 PM