HAKIM (tengah) mengejutkan banyak  pihak apabila mendahului dalam Kejuaraan Asian Talent Cup (ATC) 2022.
HAKIM (tengah) mengejutkan banyak pihak apabila mendahului dalam Kejuaraan Asian Talent Cup (ATC) 2022.
Oleh Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Pengurus pasukan SIC Racing, Zulfahmi Khairuddin tidak mahu tersalah percaturan dalam mencorak masa depan pelumba muda negara, Hakim Danish Ramli yang dilihat cukup cerah.

Dianggap sebagai pelumba paling berbakat, Hakim mengejutkan banyak pihak termasuk Zulfahmi sendiri apabila ketika ini mendahului kedudukan keseluruhan Kejuaraan Asian Talent Cup (ATC) 2022 dengan mengumpul 72 mata ketika berbaki empat pusingan perlumbaan.

Pelumba berusia 15 tahun itu juga cemerlang di European Talent Cup (ETC) apabila sudah mengumpul 75 mata untuk menduduki tempat kelima keseluruhan.

"Dia seorang pelumba yang sangat bermotivasi tinggi, paling berbakat yang pernah kami ada setakat ini serta berdisiplin. Jadi saya rasa kita perlu rancang sebaik-baiknya perjalanan karier Hakim supaya tidak buat kesilapan sepertimana beberapa pelumba kami sebelum ini.

"Sebab saya rasa Hakim mempunyai masa depan yang cukup cerah. Ketika ini mendahului ATC dan kelima keseluruhan ETC. Kami sendiri tak pernah menjangkakan dia sangat cemerlang pada tahun ini.

"Saya tahu semangatnya sangat tinggi dan memang lain macam sedikit. Jadi saya rasa apa pun perancangan untuk Hakim, kami perlu merancangnya dengan lebih berhati-hati," katanya.

Jelas Zulfahmi, ketika ini Hakim perlu kekal fokus kepada dua kejuaraan yang disertainya itu terutama di ATC yang mana peluangnya untuk melangkah ke saingan lebih tinggi sangat cerah.

"Dia dikelilingi suasana yang positif ketika ini, jadi tidak perlu terburu-buru untuk melihat kemajuannya. Saya rasa masanya akan tiba nanti. Jika dia beraksi dengan baik di ATC, masa depannya cukup cerah.

"Selama ini kebanyakan pelumba Jepun mendominasi saingan ATC tapi tahun ini nampaknya ada ruang untuknya (Hakim) mengekalkan kedudukan nombor satu sampai hujung musim ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Ogos 2022 @ 7:01 AM