HAKIM cemerlang di Asia Talent Cup. FOTO ZK Racing
HAKIM cemerlang di Asia Talent Cup. FOTO ZK Racing
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Prestasi memuaskan ditampil oleh pelumba muda negara, Hakim Danish pada perlumbaan sebelum ini ternyata berbaloi apabila dia akan membuat penampilan sulung dalam saingan European Talent Cup (ETC) bersama pasukan Liqui Moly Intact SIC Racing Team pada pusingan tiga di Litar Catalunya, Sepanyol 13 Jun ini.

Peluang yang diberikan kepada pelumba berusia 14 tahun itu adalah berdasarkan prestasi cemerlangnya ketika beraksi dalam saingan Asia Talent Cup (ATC) yang menyaksikan dia tiga kali berjaya menaiki podium di Qatar.

Hakim yang akan bergandingan bersama rakan sepasukan, Sharul Ezwan Sharil berkata, dia sudah tidak sabar untuk beraksi dalam saingan ETC dan membuktikan kemampuannya bersaing dengan pelumba berbakat di Eropah.

"Saya ingin berterima kasih kepada penaja terutama IntactGP dan SIC. Saya pasti akan mendapat pengalaman berharga dengan peluang yang diberikan ini," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Azhan Shafriman Hanif berkata, pihaknya bangga dengan perkembangan positif ditunjukkan Hakim.

"Kami sangat gembira melihat peningkatan yang ditunjukkan Hakim terutama dalam pusingan awal ATC. Kerja keras, dedikasi dan komitmen yang ditunjukkan Hakim sangat menakjubkan.

"Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Belia dan Sukan serta Persatuan Sukan Permotoran Malaysia di atas sokongan mereka terhadap program pembangunan bakat kami," katanya.

Selain itu, Pengurus Pasukan SIC Racing, Zulfahmi Khairuddin berkata, beliau yakin dengan kemampuan Hakim untuk bersaing dengan pelumba terbaik lain kelak.

"Saya sangat gembira apabila Hakim mendapat peluang menyertai perlumbaan ETC. Saya berterima kasih kepada IntactGP dan SIC kerana menjadikannya kenyataan.

"ETC adalah platform terbaik buat Hakim bagi menimba pengalaman bersaing dengan pelumba terbaik Eropah. Kami yakin dia mampu menamatkan perlumbaan dengan keputusan yang baik dan membuatkan Malaysia bangga," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Jun 2021 @ 9:46 PM