HAKIM Danish juara Perlumbaan Pertama dan Kedua kategori GP-2 Junior. -FOTO Ihsan SIC
HAKIM Danish juara Perlumbaan Pertama dan Kedua kategori GP-2 Junior. -FOTO Ihsan SIC

Ferzalfie Fauzi

Kuala Lumpur: Pelumba muda negara, Hakim Danish Ramli yang mewakili SIC Racing membuktikan telahan peminat sukan pemotoran bahawa dia mampu menggegarkan Kejuaraan Dunia dalam tempoh kurang dari 10 tahun adalah tepat selepas berjaya beraksi cemerlang Ohvale Coppa Italia.

Turun di atas tiket 'wildcard' tidak menghalang pelumba kelahiran Kuala Terengganu itu untuk mencipta sensasi apabila dua kali mencatat rekod sepusingan di Litar Pomposa, Itali selain muncul juara Perlumbaan Pertama dan Kedua kategori GP-2 Junior.

Hakim Danish memberi bayangan awal bahaya litar yang terletak di Wilayah Ferrara itu sangat secocok dengan gaya tunggangannya apabila berjaya mencatat rekod baru sepusingan pada peringkat kelayakan dengan catatan masa 1 minit 1.391 saat (s) memadamkan rekod terdahulu 1:02.0s.

Kehebatan Hakim Danish terus bersambung dalam perlumbaan pertama apabila memecahkan rekodnya sendiri selepas melakukan rekod sepusingan yang baru dengan catatan 1:01.270s.

Perlumbaan pertama pusingan keempat Ohvale Coppa Italia menyaksikan pelumba berusia 14 tahun itu terlebih dulu melintasi garisan penamat untuk mengetepikan Thomas Bonomi dari pasukan CMV, manakala tempat ketiga menjadi milik Davide Ferrazi (Dolomiti Corse).

Dalam perlumbaan kedua yang turut diadakan sebanyak 12 pusingan sama seperti saingan pertama menyaksikan Hakim Danish bangkit dari ketinggalan pada aksi awal untuk menumpaskan Ferrazi, manakala tempat ketiga diraih Lorenzo La Sorsa dari Settimoto.

"Perasaan saya sungguh gembira dapat berlumba dalam saingan Coppa Italia kerana di sini saya berpeluang untuk menimba pengalaman berharga yang sangat penting buat karier saya.

"Saya juga gembira dapat bergaul dengan pelumba Itali yang bagi saya mereka sangat baik walaupun pertama kali bertemu. Saya gembira berkawan dengan mereka," kata Hakim Danish yang membuat penampilan sulungnya di pentas antarabangsa - Asia Talent Cup (ATC) dan European Talent Cup (ETC) tahun ini.

Pada penyertaannya di ATC setakat ini, Hakim sudah menaiki tiga pentas podium dengan penamat di tempat ketiga dalam empat pusingan musim dan mengumpul 57 mata untuk berada di tangga keempat keseluruhan.

Malah di perlumbaan sulungnya di ETC yang mula disertainya di Litar Catalunya, Jun lalu, anak muda itu turut mampu bersaing di pentas saingan yang dianggap tiga kali ganda lebih sukar berbanding ATC.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 September 2021 @ 2:16 PM